am@hmetro.com.my
Batu Pahat: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas tuduhan melakukan kelucahan melampau terhadap seorang wanita, Sabtu lalu.
Tertuduh, Nur Haryadi Md Amir Hamzah, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan dikemukakan di hadapan Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman.
Mengikut pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa melakukan perbuatan itu terhadap mangsa berusia 24 tahun itu.
Perbuatan itu dilakukan di hadapan sebuah kedai serbaneka di Parit Raja, dekat sini, pada jam 11.40 malam, 18 Julai lalu dan boleh dipenjara sehingga dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Syajana Mohd Sopian.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan tarikh baru serta menawarkan ikat jamin RM6,000 kepada tertuduh.
Pihak pembelaan dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan jaminan terendah memandangkan anak guamnya tidak sihat.
“Anak guam saya tidak sihat kerana terbabit dalam kemalangan sebaik tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 27 tahun lalu. Saya mohon mahkamah mempertimbangkan rayuan ini selain tertuduh juga tidak bekerja,” katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan kes disebut semula pada 7 September untuk serahan dokumen.
© New Straits Times Press (M) Bhd




