PAU 2026: Kerjasama parti Melayu tidak boleh singgung kaum lain – Tok Mat

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Ruang kerjasama yang terbuka antara parti Melayu pada pilihan raya tidak boleh sekali-kali menyinggung kaum lain termasuk di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata UMNO akan sentiasa menjadi ‘centrict’ dan menyusuri jalan pertengahan yang tidak akan condong ke kiri atau kanan.

Parti itu katanya, mahu mengimbangi antara idea dasar kiri dan kanan sebagai sebuah parti kebangsaan yang moderat.

Mohamad juga mengingatkan, ketika politik Malaysia dalam keadaan kacau, UMNO memerlukan keyakinan bukan Melayu dan parti Sabah serta Sarawak untuk membentuk kerajaan.

“Jangan sesekali kita memikirkan pengundi kita hanya Melayu.

“Tindakan dan perilaku kita, jangan sesekali membuka ruang kerisauan dalam kalangan rakyat Malaysia bukan Melayu serta rakan kita di Sabah dan Sarawak.

“Mereka sekarang menjadi kuasa penentu. Era kita menganggap mereka adalah deposit simpanan tetap sudah tinggal kenangan.

“Justeru, ramai dalam kalangan bukan Melayu dan rakan di Sabah dan Sarawak yang bimbang ke mana Malaysia ini akan terarah, apabila politik Melayu Islam itu menjadi domain yang terlihat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2026 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini, malam ini.

Mohamad, berkata spektrum pendirian UMNO sangat jelas dan sudah diuji puluhan tahun dengan mengurus serta mentadbir negara melalui sikap, dasar, pendirian dan keutamaan yang sederhana, walaupun sebagai parti kebangsaan.

Justeru katanya, sesiapa saja yang ingin bekerjasama dengan UMNO mesti menerima kesederhanaan dan sikap menengah parti itu.

“Anda tidak boleh memaksa ideologi konservatif atau radikal anda ke atas UMNO.

“Bangsa Melayu pula akan terus menjadi bangsa keindukan yang menyediakan ruang dan peluang untuk semua.

“Kami akan memastikan tanah air ini adalah tanah air untuk semua, makmur dan diuruskan dengan teliti, selari dengan apa yang terpasak dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut memberi jaminan kepada bukan Melayu dan Bumiputera bukan Islam di Sabah dan Sarawak bahawa UMNO akan memastikan Malaysia ditadbir secara adil, dengan semangat bersatu-padu.

“Politik Melayu akan kami uruskan secara matang dan sama sekali tidak akan menjadi beban dan ancaman, mahu pun penafian hak dan kepentingan kalian.

“Insya-Allah, Malaysia yang kita cita-citakanialah Malaysia yang aman sentosa dan saling melengkapi antara semua kaum,” katanya.

From: Nazura

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top