Sentuhan tulus terjun ke dunia khidmat buat autisme dewasa

suliati@hmetro.com.my

MEREKA mungkin melihat dunia dengan cara yang berbeza, tetapi individu autisme juga mempunyai impian, perasaan dan potensi seperti manusia lain.

Namun, apabila usia semakin meningkat dan mereka bukan lagi kanak-kanak, persoalan yang lebih besar mula timbul.

Selepas ini, mereka hendak ke mana? Apa yang boleh mereka lakukan? Adakah masyarakat benar-benar bersedia menerima mereka?

Persoalan itu cukup dekat di hati Nurul Afiqah Sulaiman, 36, yang memilih untuk meninggalkan dunia pendidikan arus perdana bagi mendidik individu autisme dewasa.

Pernah memegang jawatan ketua guru selama tiga tahun, Nurul Afiqah yang sudah sedekad dalam dunia pendidikan berkata, hatinya mula tertarik kepada bidang itu selepas mengenali dan bekerja dengan individu autisme.

“Saya melihat mereka bukan sebagai individu yang tidak mampu, tetapi mempunyai potensi dan keunikan tersendiri.

“Cuma mereka memerlukan pendekatan yang berbeza, lebih banyak kesabaran dan seseorang yang sanggup memahami dunia mereka,” katanya.

Keputusannya turut dipengaruhi pengalaman melihat anak saudaranya yang membesar dengan autisme.

Menurutnya, melihat perubahan kecil anak saudaranya yang sebelum ini tidak mampu melakukan sesuatu, tetapi perlahan-lahan berjaya melakukannya sendiri memberi perasaan yang sukar digambarkan.

“Daripada situ saya belajar bahawa perubahan mungkin tidak berlaku dengan cepat, tetapi setiap perkembangan kecil sebenarnya adalah satu kejayaan yang besar,” katanya.

Kini, kehidupan Nurul Afiqah dipenuhi dengan pelajar autisme berusia antara 17 hingga 32 tahun.

Tidak seperti di sekolah biasa yang memberi tumpuan kepada pembelajaran akademik, Nurul Afiqah bersama rakan pendidik lain memberi fokus kepada kemahiran kehidupan dan persediaan membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih berdikari.Antara kemahiran yang diajar termasuk memasak, membersihkan kawasan, mencuci, mengurus diri, menggunakan peralatan, melakukan tugasan harian, membina kemahiran sosial serta mengaji al-Quran.

Menurut Nurul Afiqah yang berasal dari Kuala Lumpur, setiap pelajar mempunyai tahap kemampuan dan cara pembelajaran berbeza.

“Ada yang belajar melalui demonstrasi, ada yang memerlukan arahan secara berulang dan ada yang lebih mudah belajar melalui rutin.

“Jadi, pendekatan kami juga berbeza. Kami tidak boleh menggunakan satu cara untuk semua,” katanya.

Namun, semua itu tidak semudah yang disangka kerana pelbagai cabaran perlu dihadapi dalam mengajar pelajar autisme.

Cabaran terbesar bagi Nurul Afiqah ialah memahami setiap individu kerana tiada individu autisme yang sama.

Apa yang berkesan kepada seorang pelajar mungkin tidak sesuai untuk pelajar lain, sekali gus menuntut beliau mencuba pelbagai pendekatan serta mengurus emosi dan tingkah laku mereka dengan penuh kesabaran.

Daripada cabaran itu, beliau terus belajar menjadi seorang yang lebih sabar dan memahami.

Berkongsi pengalaman paling tidak dijangka sepanjang mengajar, Nurul Afiqah berkata, dia pernah berdepan situasi apabila seorang pelajar yang memegang bekas makanan tiba-tiba datang dari satu arah sebelum menghempas bekas itu ke kepalanya dengan sekuat hati.

Bagaimanapun, situasi seperti itu adalah sebahagian daripada realiti dalam bidang berkenaan.

Katanya, tingkah laku agresif tidak seharusnya terus dianggap sebagai tindakan sengaja untuk menyakiti.

“Kadang-kadang itu adalah cara mereka meluahkan rasa marah, kecewa, takut atau tidak selesa kerana mereka sukar untuk menyampaikan apa yang dirasakan.

“Kami sebagai pengajar perlu belajar memahami apa yang cuba mereka sampaikan,” katanya.

Sebagai insan biasa, Nurul Afiqah mengakui pernah berasa penat, kecewa dan tertanya-tanya sama ada beliau mampu meneruskan perjalanan itu.

“Namun, apabila melihat pelajar yang sebelum ini tidak mampu melakukan sesuatu akhirnya berjaya melakukannya sendiri, itulah yang membuatkan saya kembali kuat.

“Saya rasa selagi saya masih mampu memberi sesuatu kepada mereka, saya mahu terus berada dalam perjalanan ini.

“Selain itu, saya sangat seronok dikelilingi rakan sekerja yang sangat membantu dan saling menyokong sesama sendiri,” katanya.

Di sebalik cabaran mendidik individu autisme dewasa, Nurul Afiqah melihat satu persoalan yang lebih besar perlu diberi perhatian masyarakat.

“Biasanya ketika mereka masih kecil, banyak program dan intervensi disediakan.

“Namun, persoalan mengenai masa depan mereka menjadi semakin besar apabila meningkat usia.

“Mereka bukan tidak mempunyai potensi. Mereka cuma memerlukan peluang yang sesuai dengan kemampuan dan kekuatan mereka,” katanya.

Oleh itu, Nurul Afiqah berharap masyarakat dapat melihat individu autisme sebagai manusia terlebih dahulu, bukan hanya berdasarkan label atau diagnosis.

“Jangan terlalu cepat menilai apabila mereka bertindak dengan cara yang kita tidak fahami. Cuba fahami bahawa setiap individu mempunyai cara tersendiri untuk berkomunikasi dan menjalani kehidupan.

“Mereka tidak meminta layanan istimewa. Mereka hanya memerlukan peluang, kefahaman dan penerimaan daripada masyarakat.

“Kadang-kadang perkara yang paling mereka perlukan bukanlah simpati, tetapi peluang untuk membuktikan bahawa mereka juga mampu,” katanya.

Bagi Nurul Afiqah, beliau berharap dapat terus belajar dan menjadi seorang pendidik yang lebih baik buat pelajar-pelajarnya.

“Saya akui perjalanan itu bukan mudah dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

“Namun, selagi diberi peluang dan tenaga, saya mahu terus membantu mereka menjadi lebih berdikari dan yakin terhadap kemampuan diri sendiri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top