Konvoi bermotosikal intai sejarah dan warisan negara

saufi@mediaprima.com.my

SETIAP hujung minggu, semakin ramai peminat motosikal memilih untuk menunggang jauh bukan sekadar mencari laluan yang mencabar, tetapi turut menjadikan sejarah dan warisan tempatan sebagai destinasi utama.

‘Trend ride’ bertemakan sejarah ini kian mendapat sambutan dalam kalangan penunggang dewasa yang mahu menggabungkan hobi dengan pengetahuan berkenaan asal-usul negara termasuk lokasi bersejarah.

Bagi seorang peminat sejarah dan juga hobi menunggang motosikal, Norhadi Kaharuddin, 39, berkata, idea untuk menelusuri tempat bersejarah itu sudah tercetus sejak beberapa bulan lalu.

Dia bersama tiga rakannya iaitu, Mohd Asyrani Mohammadi, 39, Mohd Naim Zainol, 40 dan Ammiruddin Kushin, 41 memulakan inisiatif itu untuk menelusuri lokasi bersejarah di seluruh negara.

“Saya serta rakan lain berfikir penting untuk kita tahu sejarah tempatan supaya anak bangsa lebih menghargai perjuangan generasi terdahulu,” katanya.

Terbaharu, Norhadi bersama rakannya itu menelusuri tapak warisan dan sejarah menerusi perjalanan rekreasi di Hutan Lipur Lata Kekabu, Lenggong, Perak selama empat hari bermula 28 hingga 31 Ogos lalu.

Norhadi berkata, pemilihan eksplorasi di Lenggong adalah bertitik tolak kepada rasa ingin tahu tentang tapak khazanah geologi di tempat berkenaan selain melihat keindahan hutan lipur.

“Objektif utama untuk memperkenalkan khazanah geologi serta pelbagai tempat bersejarah di daerah Lenggong, termasuk penemuan rangka ‘Perak Man’ yang dikaitkan dengan usia lingkungan 11,000 tahun dulu.

“Saya bersama rakan turut menjadikan Bukit Sapi sebagai salah satu perhentian penting kerana lokasi berkenaan menjadi saksi kepada letusan gunung berapi ‘Super Toba’ yang berlaku kira-kira 74,000 tahun dahulu.

“Semua visual berkenaan kami jadikan video untuk akaun media sosial sekali gus mungkin memberi maklumat baharu kepada generasi sekarang tentang tapak bersejarah yang penting di negara ini,” katanya.

Katanya, mereka turut mencari lata air sungai dan air terjun yang mempunyai tempat perlindungan (santuari) ikan Tengas seperti yang terdapat di Lata Perahu, memandangkan kawasan berkenaan masih terpelihara.

Menceritakan lanjut, katanya, perjalanan turut membabitkan lawatan ke ‘Mini Amazon’ Kampung Beng iaitu sebuah lokasi pelancongan yang terkenal dengan suasana hutan air yang menyerupai Sungai Amazon di Amerika Selatan.

“Kawasan berkenaan terbentuk hasil pembinaan Empangan Chenderoh sejak era British sekitar tahun 1920-an, iaitu empangan hidroelektrik dan stesen janakuasa tertua di negara ini.

“Selain menjadi syurga kepada peminat memancing kerana kaya dengan spesies ikan seperti Toman, Sebarau dan Ikan Raja, pengunjung turut boleh menaiki bot selama 20 hingga 30 minit untuk menikmati keindahan flora dan fauna kawasan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi rakannya, Mohd Naim Zainol, 40, berkata, kumpulan mereka turut mengadakan lawatan di Galeri Arkeologi Lembah Lenggong yang menempatkan rangka Perak Man serta pelbagai artifak daripada zaman Paleolitik, Neolitik dan Logam, sebelum meneruskan lawatan ke tapak penting lain seperti Kota Tampan, Teres Kuno Bukit Jawa, Bukit Bunuh, Gua Kajang dan kawasan debu volkanik Toba di Kampung Chepor.

“Bagi bahagian laluan menunggang pula, jalan raya di Lenggong terutama dari Kampung Sumpitan ke Selama, Perak, menawarkan selekoh yang amat sesuai untuk dikuasai penunggang motosikal.

“Tidak ramai yang mengetahui bahawa Lenggong menyimpan banyak tempat geolokal menarik bagi peminat sejarah dan geografi.

“Generasi baru kebanyakannya hanya mengenali Tasik Raban serta keunikan bunga teratai di kawasan berkenaan, sedangkan Empangan Chenderoh antara empangan terawal yang wujud sejak zaman British pada tahun 1920-an.

“Empangan itu antara yang tercanggih ketika itu dengan teknologi bagi menjana kuasa elektrik yang disalurkan ke lombong bijih timah,” katanya.

Mohd Naim berkata, aktiviti menunggang dengan objektif penjelajahan sejarah ini harus diperkenalkan supaya ia bukan sekadar hobi, tetapi menelusuri terowong masa sejarah negara ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top