Sindiket dadah dikesan guna taktik 'check-in' saat akhir di lapangan terbang

Sindiket dadah dikesan guna taktik 'check-in' saat akhir di lapangan terbang

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

No pix

Kuala Lumpur: Sindiket dadah antarabangsa dikesan menggerakkan keldai dadah melalui lapangan terbang dengan taktik mendaftar masuk penerbangan pada saat akhir atau ketika waktu puncak dipercayai bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, keuntungan besar mendorong sindiket terus mencuba pelbagai kaedah dengan harapan berlaku kealpaan atau kegagalan sistem pengesanan pihak berkuasa.

“Mereka terus mencuba dan mengharapkan ada kealpaan atau kegagalan sistem pengesanan pihak berkuasa lapangan terbang.

“Antara taktik ialah mendaftar masuk pada saat akhir atau ketika waktu puncak,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Katanya, berdasarkan pemantauan pihaknya, lapangan terbang masih menjadi laluan utama bagi pergerakan keldai dadah, khususnya membabitkan sindiket antarabangsa.

Bagaimanapun katanya, pintu masuk lain seperti pelabuhan dan sempadan darat juga tidak terkecuali daripada digunakan sindiket namun modus operandi berbeza berbanding penggunaan keldai dadah di lapangan terbang.

“Pihak berkuasa khususnya JSJN sentiasa menilai trend semasa dan memperkukuhkan kawalan di semua pintu masuk negara secara menyeluruh,” katanya.

Menurutnya, penggunaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang sebagai lokasi transit oleh sindiket dadah antarabangsa terutama yang menggunakan pelancong asing sebagai keldai dadah adalah satu ancaman serius yang perlu diberi perhatian dan dipantau secara berterusan.

Katanya, kedudukan strategik Malaysia sebagai hab penerbangan serantau menjadikan KLIA antara laluan utama pilihan sindiket bagi aktiviti penyeludupan dadah merentasi benua.

“Bagaimanapun, JSJN bersama agensi penguatkuasaan lain di negara ini sentiasa memperkukuhkan aspek kawalan, risikan dan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh bagi memastikan setiap cubaan penyeludupan dadah dapat dikesan serta digagalkan,” katanya.

Beliau berkata, sindiket kini menggunakan pelbagai modus operandi yang semakin licik dan terancang dalam kegiatan berkenaan.

Katanya, ia termasuk menawarkan peluang pekerjaan palsu, pakej percutian percuma serta ganjaran kewangan yang lumayan dengan mangsa juga diperdaya membawa barangan tertentu tanpa mengetahui kandungan sebenar.

“Selain itu, terdapat juga kes di mana dadah disorok secara kreatif dalam bagasi, pakaian, barangan peribadi, malah melalui kaedah ‘body packing’ bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Hussein berkata, sindiket lazimnya menawarkan ganjaran kewangan yang tinggi, pekerjaan di luar negara atau pakej percutian percuma sebagai umpan selain menyasarkan individu yang berdepan tekanan kewangan atau kurang kesedaran mengenai risiko jenayah ini.

“Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan tawaran yang mencurigakan. Jangan sesekali bersetuju membawa barangan milik pihak lain tanpa mengetahui kandungannya terutama di lapangan terbang.

“Pembabitan dalam aktiviti ini boleh membawa kepada hukuman yang sangat berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman mati di sesetengah negara,” katanya.

Beliau berkata, JSJN akan sentiasa berusaha membantu dan menangani masalah pembabitan warga Malaysia yang terjebak dalam sindiket aktiviti penyeludupan dadah menggunakan keldai dadah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top