CelcomDigi lancar kempen hargai pelanggan, tawar hadiah keseluruhan RM20 juta

CelcomDigi lancar kempen hargai pelanggan, tawar hadiah keseluruhan RM20 juta

hafizthnin@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Hampir tiga tahun selepas penggabungan Celcom dan Digi, CelcomDigi Berhad terus memperkukuh proses integrasi rangkaian, aplikasi dan operasi runcit terus, seiring pelancaran kempen penghargaan pelanggan Mega Gegar 20 Juta.

Ketua Penjenamaan dan Perkhidmatan Pemasaran CelcomDigi, Chan May Ling berkata, antara sinergi utama yang berjaya dicapai setakat ini ialah integrasi rangkaian di beberapa kawasan, penyatuan aplikasi Celcom Life dan MyDigi kepada aplikasi CelcomDigi serta penggabungan 60 cawangan kedai CelcomDigi di seluruh negara.

Katanya, pangkalan pelanggan syarikat mencecah 20 juta ketika penggabungan Celcom dan Digi, sekali gus menjadi asas kepada pelancaran kempen Mega Gegar 20 Juta sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan.

“Sepanjang tiga tahun lalu, kami membina jenama yang boleh dipercayai rakyat Malaysia dengan memastikan mereka sentiasa terhubung, menawarkan pengalaman yang diyakini serta produk dan perkhidmatan yang memenuhi keperluan mereka.

“Kami percaya CelcomDigi bukan sekadar mengenai teknologi yang kami sediakan, tetapi juga peranan kami dalam kehidupan pelanggan. Lebih 20 juta kehidupan inilah yang mengilhamkan rangkaian kami. Mega Gegar 20 Juta adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada jutaan rakyat Malaysia yang terus meletakkan kepercayaan kepada kami,” katanya pada pelancaran kempen itu, di sini, semalam.

Kempen Mega Gegar 20 Juta yang berlangsung dari 23 Julai hingga 30 September ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM20 juta merangkumi 20 hadiah utama dan lebih 70,000 hadiah bonus.

Antara hadiah yang ditawarkan ialah ubah suai kediaman Smart AI Home bersama Samsung dan The MakeOver Guys, sebuah Proton e.MAS 7, percutian ke luar negara, pakej pelancongan domestik serta akses eksklusif ke konsert Live Nation.

Chan berkata, pelanggan hanya perlu membuat transaksi bermula RM20 merentasi produk dan perkhidmatan CelcomDigi untuk melayakkan diri membuka MysteryBox digital dalam aplikasi CelcomDigi.

Jelasnya, nilai transaksi minimum RM20 dipilih kerana ia merupakan nilai transaksi yang lazim dalam kalangan pelanggan, sekali gus membolehkan majoriti pengguna termasuk pelanggan prabayar, pascabayar, fiber dan perkhidmatan langganan menyertai kempen itu.

“Kempen ini bukan sahaja bertujuan menghargai pelanggan, malah syarikat turut menjangkakan peningkatan transaksi merentas keseluruhan portfolio produk dan perkhidmatannya sepanjang tempoh kempen,” katanya.

Mengulas perkembangan produk, katanya, CelcomDigi sebelum ini memperkenalkan CelcomDigi ONE sebagai pakej konvergens yang menggabungkan fiber, pelan pascabayar, hiburan dan ciri keselamatan.

“Selain itu, syarikat turut memperbaharui pelan pascabayar dengan tawaran diskaun 50 peratus bagi sehingga enam talian tambahan serta akses kepada Amazon Prime, selain menawarkan pelan prabayar 5G tanpa had bermula RM30 dan pelan RM65.

“CelcomDigi juga memperkenalkan Service-as-a-Bundle, iaitu satu pakej langganan yang menggabungkan beberapa perkhidmatan digital di bawah satu langganan, termasuk pilihan Asian Pass dan Sport Pass, pada harga bermula RM9.90,” katanya.

Mengulas prospek perniagaan bagi separuh kedua tahun ini, katanya CelcomDigi menjangkakan trajektori pertumbuhan yang positif, disokong perubahan corak penggunaan pelanggan ke arah perkhidmatan Over-the-Top (OTT) iaitu perkhidmatan digital yang disampaikan melalui internet seperti penstriman video, hiburan dan aplikasi komunikasi.

“Perubahan ini mendorong syarikat terus memasukkan perkhidmatan OTT selain memperkukuh ekosistem digital menerusi aplikasi CelcomDigi yang akan menerima lebih banyak ciri dan perkhidmatan baharu dari semasa ke semasa,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top