Elak rumah jadi pusat sindiket scam, semak latar belakang penyewa – Polis

Elak rumah jadi pusat sindiket scam, semak latar belakang penyewa – Polis

am@hmetro.com.my

Georgetown: Ejen hartanah dan pemilik rumah di negeri ini diminta lebih berhati-hati ketika menyewakan premis mereka bagi mengelak ia disalahguna sebagai pusat operasi sindiket penipuan (scammer).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Dennis Lim Kwang Keng berkata, kegagalan membuat semakan latar belakang penyewa boleh menyebabkan premis mereka boleh dijadikan lokasi kegiatan jenayah tanpa disedari pemilik.

“Semua pemilik rumah dinasihati supaya membuat semakan terhadap bakal penyewa sebelum menyewakan premis mereka.

“Jika urusan dibuat menerusi ejen, semak juga latar belakang ejen berkenaan.

“Jangan sewenang-wenangnya terima penyewa tanpa pemeriksaan yang wajar bagi mengelak premis disalahgunakan untuk kegiatan jenayah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.

Dennis Lim berkata demikian ketika diminta mengulas kejayaan polis yang menumpaskan lima pusat penipuan dalam talian di kediaman mewah termasuk banglo di Pulau Pinang sejak satu hingga dua bulan lalu.

“Polis juga akan bekerjasama dengan pihak berkuasa negara yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang antarabangsa, selain menjalankan siasatan terhadap semua suspek yang ditahan mengikut Akta Imigresen,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan berasingan, Dennis Lim berkata, sebanyak 31 serbuan membabitkan kegiatan perjudian menerusi Op Soga XI dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang sepanjang 11 Jun hingga 19 Julai sempena kejohanan Piala Dunia yang berakhir kelmarin.

Katanya, operasi itu menyaksikan sebanyak 31 kertas siasatan dibuka serta seramai 36 individu ditahan, terdiri daripada 33 lelaki dan tiga wanita.

“Sebanyak 24 kes daripada 31 siasatan itu sudah dituduh di mahkamah dengan 23 tertuduh mengaku bersalah manakala satu kes masih dalam perbicaraan.

“Manakala empat lagi kertas siasatan masih dalam tindakan lanjut, sementara tiga kes diklasifikasi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) kerana keterangan tidak mencukupi.

“Semua kes disiasat mengikut Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top