Glasgow: Bekas jaguh boling padang negara, Siti Zalina Ahmad menerima penghormatan daripada penganjur Sukan Komanwel Glasgow 2026 apabila satu daripada empat gelanggang pertandingan di Scottish Event Campus (SEC) Centre di sini dinamakan sempena nama beliau.
Pengiktirafan itu adalah kali pertama dalam sejarah Sukan Komanwel apabila kesemua empat gelanggang pertandingan dinamakan sempena atlet yang dianggap legenda dalam sukan boling padang.
Selain Siti Zalina, tiga lain tokoh terkenal menerima penghormatan itu ialah David Bryant dan Ellen Falkner dari England serta Robert Weale dari Wales.
Inisiatif itu adalah kerjasama antara Glasgow 2026 dan World Bowls, dengan setiap gelanggang pertandingan dinamakan sempena anggota World Bowls Hall of Fame sepanjang temasya berlangsung.
“Ini adalah satu pengiktirafan besar untuk beliau yang telah memenangi tiga pingat emas Sukan Komanwel,” ketua juruatih boling padang negara, Fairul Izwan Abd Muin ketika ditemui di sini.
Perintis boling padang antarabangsa Malaysia, Siti Zalina adalah seorang daripada dua wanita memenangi dua pingat emas acara singles di Sukan Komanwel, selain turut meraih pingat emas dalam acara pairs dan pingat gangsa bagi acara fours.
Bekas atlet kebangsaan berusia 47 tahun itu memenangi pingat emas pertamanya dalam acara singles pada Sukan Komanwel Manchester 2002 sebelum berjaya mempertahankan gelaran tersebut di Melbourne 2006.
Beliau kemudian menambah koleksi pingat emasnya dalam acara pairs di Gold Coast 2018.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, dengan sukan boling padang antara yang menjadi “lubuk” pingat bagi Malaysia.
© New Straits Times Press (M) Bhd




