Melaka Catat Dua Rekod MBOR Menerusi Kuih Keria, Replika Konda-Kondi Terbesar

Melaka Catat Dua Rekod MBOR Menerusi Kuih Keria, Replika Konda-Kondi Terbesar

Festival Sungai Melaka 2026 mencipta sejarah apabila menerima dua pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) menerusi penghasilan 10,670 biji kuih keria dan Replika Konda-Kondi Terbesar, sekali gus mengangkat warisan kulinari serta permainan tradisional sebagai tarikan pelancongan negeri.

Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) berkata, pengiktirafan pertama diberikan selepas festival itu berjaya menghasilkan 10,670 biji kuih keria, melepasi sasaran asal sebanyak 10,000 biji.

“Pencapaian ini membuktikan komitmen Kerajaan Negeri Melaka bersama PPSPM, Bahagian Promosi Pelancongan (Tourism Melaka) serta rakan-rakan strategik dalam memartabatkan kuih tradisional sebagai warisan kulinari yang mempunyai nilai sejarah, budaya dan identiti tersendiri,” menurut kenyataan itu.

Menurut PPSPM, sebaik sahaja proses pengiktirafan selesai, ribuan biji kuih keria yang dihasilkan diagihkan kepada orang ramai di Dataran Pengkalan Rama sebagai simbolik perkongsian kejayaan bersama masyarakat.

Festival itu turut mencatat satu lagi rekod MBOR menerusi kategori Replika Konda-Kondi Terbesar, yang direalisasikan oleh NUHEA Sdn. Bhd. selaku penaja utama Pertandingan Konda-Kondi.

Menurut kenyataan itu, inisiatif berkenaan bertujuan memelihara, memperkenalkan dan menghidupkan semula permainan tradisional Melayu kepada generasi muda serta pelancong dari dalam dan luar negara.

“Penghasilan replika tersebut juga merupakan tanda penghargaan terhadap inisiatif Datuk Seri Utama Ab Rauf bin Yusoh, Ketua Menteri Melaka, dalam mengangkat semula permainan tradisional Konda-Kondi sebagai salah satu warisan budaya negeri,” katanya.

PPSPM berkata, kedua-dua pengiktirafan itu menjadi antara kemuncak Festival Sungai Melaka 2026 yang menghimpunkan pelbagai program berteraskan warisan, kebudayaan dan pelancongan.

“Buat julung kalinya, Festival Sungai Melaka (FSM) 2026 dianjurkan selama empat bulan merangkumi tiga daerah di Negeri Melaka dengan membawa tema “Melaka Sayang Rakyat (MESRA)”,” menurut kenyataan itu.

Festival berkenaan turut menampilkan pelbagai aktiviti berteraskan warisan, kebudayaan, pelancongan, sukan, komuniti dan kekeluargaan, sekali gus memperkayakan pengalaman pelancongan di Negeri Melaka.

Dengan dua pengiktirafan terbaharu itu, Kerajaan Negeri Melaka kini telah meraih keseluruhan lima pengiktirafan MBOR dalam tempoh tiga tahun pentadbiran Ab Rauf.

Menurut PPSPM, pencapaian itu membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasakan sektor pelancongan menerusi program berimpak tinggi yang mengangkat warisan, budaya dan identiti negeri, di samping menyokong aspirasi Tahun Melawat Malaysia 2026.

KREDIT GAMBAR UTAMA: FB AB RAUF YUSOHum ini.


Scroll to Top