Man City ikat Foden hingga 2030

Man City ikat Foden hingga 2030

Manchester: Bintang Manchester City, Phil Foden menandatangani kontrak baharu yang akan menyaksikannya terus kekal bersama kelab itu sehingga 2030, umum juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu hari ini.

Kontrak baharu berkenaan mengukuhkan lagi komitmen City terhadap pemain produk akademi mereka yang sudah membuat 411 penampilan dan menjaringkan 131 gol sejak menembusi skuad utama di bawah kendalian Pep Guardiola pada 2017.

Sepanjang tempoh itu, Foden membantu City memenangi enam gelaran EPL, satu trofi Liga Juara-Juara dan tiga Piala FA.

“Ia bukan sesuatu yang saya ambil mudah kerana saya cukup bertuah dapat menjadi sebahagian daripada era bersejarah kelab dengan begitu banyak kejayaan.

“Tetapi kami sentiasa memandang ke hadapan dan mahu memenangi lebih banyak trofi.

“Saya hanya mampu mengucapkan terima kasih kepada kelab, barisan kejurulatihan, rakan sepasukan dan penyokong yang terus mempercayai saya. Saya akan terus memberikan segala-galanya untuk Manchester City dan berharap dapat membalas kepercayaan itu pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Musim lalu, pemain berusia 26 tahun itu menjaringkan 10 gol dan mencipta tujuh bantuan jaringan dalam 50 penampilan di semua pertandingan.

Bagaimanapun, prestasi Foden merosot sepanjang 2026 apabila gagal menjaringkan sebarang gol dan hanya mencatat tiga bantuan jaringan, sekali gus menyebabkan dia diketepikan daripada skuad England ke Piala Dunia oleh pengurus, Thomas Tuchel.

Manchester City yang kini dibimbing Enzo Maresca akan memulakan kempen EPL musim baharu menentang Bournemouth pada 23 Ogos ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top