'Ini peluang untuk letak batu asas rombakan menyeluruh struktur organisasi FAM'

sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kongres Pemilihan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) pada 17 September ini disifatkan sebagai ‘peluang keemasan’ untuk meletakkan batu asas kepada rombakan menyeluruh terhadap struktur organisasi serta pentadbiran badan induk itu.

Langkah drastik ahli gabungan dalam membuat keputusan pada kongres itu bakal menentukan sama ada landskap bola sepak tempatan mampu melonjak ke era baharu atau kekal terperangkap dalam kepimpinan berteraskan corak lama.

Pemerhati sukan tempatan, Ahmad Muzakkir Hamid menegaskan peluang ini tidak boleh disia-siakan sama sekali oleh semua ahli gabungan yang memegang kuasa undi demi memastikan agenda reformasi organisasi dapat dilaksanakan secara total.

Mengulas mengenai senario pemilihan kali ini, beliau memberi peringatan tegas bahawa sebarang kesilapan dalam membuat pilihan bakal memberi implikasi berpanjangan terhadap hala tuju arena bola sepak negara.

“Ini adalah detik paling sesuai untuk kita melakukan penstrukturan semula secara menyeluruh di dalam FAM.

“Ahli-ahli gabungan memikul tanggungjawab besar dan mereka sama sekali tidak boleh melepaskan peluang emas pada 17 September ini.

“Sekiranya kita gagal membuat perubahan sekarang, kita terpaksa menunggu tiga tahun lagi untuk penggal 2029-2033.

“Bola sepak negara tidak boleh lagi disandarkan kepada corak lama jika mahu bersaing di peringkat lebih tinggi,” katanya.

Sesi pemilihan bagi baki penggal 2025/29 itu bakal menyaksikan saingan sengit dua penjuru merebut kerusi nombor satu badan induk itu antara Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan dan Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar.

Pertembungan dua tokoh berkenaan berlaku berikutan keputusan Presiden Kehormat FAM, Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang mendedahkan tidak akan bertanding semula bagi memberi laluan penuh kepada kepimpinan baharu menerajui organisasi berkenaan.

Dalam pada itu, kongres kali ini turut menjadi perhatian memandangkan jumlah kerusi yang semakin sedikit susulan perubahan dituntut Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).

Muzakkir turut menjelaskan pemilihan jawatankuasa baharu kali ini perlu dinilai berdasarkan keupayaan serta visi realistik yang dibawa oleh setiap calon demi memodenkan bola sepak tempatan.

“Mandat yang ada di tangan ahli gabungan kali ini bukan sekadar untuk mengisi kerusi kepimpinan, tetapi menjadi penentu sama ada kita mahu melangkah ke era profesionalisme sebenar atau sekadar mengekalkan kedudukan sedia ada.

“Jadi ahli gabungan harus berfikir masak-masak untuk memilih calon terbaik kerana mereka memegang kunci kepada masa depan bola sepak negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top