#taskid sendstory
Oleh Muhammad Yusri Muzamir
yusri.muzamir@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO memulangkan ‘paku buah keras’ kepada kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) selepas didakwa berulang kali menuduh pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) ‘sakau’ dana awam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, berkata kepemimpinan PH, terutama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebaliknya perlu menjelaskan status siasatan beberapa skandal yang sehingga kini belum ada tindakan lanjut.
Beliau ketika menggulung perbahasan Ucapan Dasar Ketua Pemuda UMNO berkata, antara skandal itu ialah siasatan kes ‘mafia korporat’, isu lombong di Sabah dan kerugian pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).
“Saya mahu tanya kepada Anwar, apa cerita ‘mafia korporat’? Beliau sebelum jadi kerajaan dulu kata hendak tangka bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki.
“Namun, bila sudah jadi Perdana Menteri, apa cerita ini? Saya mahu tanya juga apa cerita kes lombong dekat Sabah? Kalau hendak kata kita sakau, bekas Setiausaha Politik Kanan (Anwar) dan Albert Tei.
“Dia (bekas Setiausaha Politik Kanan Anwar) pakai baju oren dia tak cakap… Albert Tei mengaku beri rasuah pada dia, ada video.
“Video dekat Sabah pun dia (Anwar) kata sampai sekarang tak tahu apa kisahnya. Apa dia? Editing (disunting)? Geli saya hendak tengok (video itu)… apa cerita, jawablah,” katanya di sini malam ini.
Dr Muhamad Akmal turut menasihatkan pemimpin UMNO yang didakwa di mahkamah supaya tidak segan dengan pertuduhan dikemukakan ke atas mereka, selagi belum disabitkan kesalahan.
Beliau turut meminta Pemuda UMNO untuk terus mempertahankan semua pemimpin parti itu yang dihadapkan pelbagai pertuduhan, selagi belum dibuktikan bersalah.
“Pendakwaan ini belum bermaksud kita bersalah. Jadi apa kita mahu segan? Kita kena sokong pemimpin kita! Bagi sokongan moral kepada pemimpin kita.
“Jangan rasa rendah diri atau malu sebab pemimpin kita belum dibuktikan bersalah. Pemimpin mereka, Anwar dua kalilah disabitkan kesalahan.
“Kesalahan pertama, salah guna kuasa dan sudah dijatuhkan hukuman. Mereka tak pernah pun malu, berarak lagi dekat jalan raya gesa bebaskan Anwar. Buat ‘billboard’ besar-besar. Ada mereka malu?
“Kesalahan kedua, saya hendak cakap pun segan tetapi fakta! Ini sejarah dan fakta tak pernah menipu, tetapi ada mereka malu? Mereka lawan dan tetap pertahankan pemimpin mereka,” katanya.
From: Rohaniza
© New Straits Times Press (M) Bhd


