Paris: Perancis menarik balik sokongan terhadap Gianni Infantino yang bakal bertanding untuk mempertahankan jawatan Presiden Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) pada pemilihan Mac tahun depan.
Persekutuan Bolasepak Perancis (FFF) mengumumkan keputusan itu hari ini, sekali gus menyertai beberapa badan bola sepak Eropah lain termasuk Belgium, Itali, Scotland, Sweden dan Wales yang terlebih dahulu mengambil pendirian sama.
FIFA mengesahkan hujung minggu lalu bahawa Infantino akan bertanding bagi penggal baharu dalam pemilihan yang dijadualkan berlangsung Mac 2027, biarpun menerima kecaman susulan rancangan membawa pelaburan swasta ke Piala Dunia lelaki dan wanita yang akhirnya dibatalkan.
Ketika ini, Infantino, 56, adalah satu-satunya calon yang mengemukakan pencalonan.
Bagaimanapun, Presiden CONCACAF, Victor Montagliani, dilihat sebagai calon berpotensi untuk mencabar penyandang itu.
Presiden FFF, Philippe Diallo, berkata pihaknya berasakan kepercayaan yang diberikan kepada Presiden FIFA sudah dikhianati, selain hala tuju tadbir urus bola sepak dunia ketika ini tidak lagi selari dengan pendirian mereka.
“Atas keputusan sebulat suara ahli, Persekutuan Bolasepak Perancis memutuskan untuk menarik balik sokongan terhadap pencalonan Gianni Infantino sebagai Presiden FIFA,” katanya dalam satu kenyataan.
Keputusan FFF itu sememangnya dijangka, namun perkembangan berkenaan dijangka memberi tekanan tambahan kepada Infantino menjelang pemilihan berkenaan.
Diallo berkata, Perancis mempunyai kedudukan bersejarah sebagai antara negara pengasas FIFA dan berhak bersuara sekiranya merasakan badan induk bola sepak dunia itu serta presidennya sudah tersasar daripada landasan dalam mentadbir bola sepak dunia.
“Perancis juga mempunyai legitimasi dari sudut sukan selepas berada dalam kelompok tiga terbaik ranking FIFA sejak 10 tahun lalu,” katanya.
Infantino mengambil alih jawatan Presiden FIFA daripada Sepp Blatter pada 2016.
Beliau berdepan tekanan hebat sejak cadangan mewujudkan anak syarikat komersial bagi menguruskan kejohanan terbesar FIFA, termasuk Piala Dunia dan Piala Dunia Kelab, diumumkan pada akhir Julai.
Rancangan itu membolehkan pelabur swasta memiliki pegangan dalam sebuah syarikat yang diwujudkan menerusi inisiatif FIFA Forward Enterprise (FFE).
Bagaimanapun, bantahan yang tercetus menyebabkan cadangan itu segera diketepikan.
Badan induk bola sepak Eropah, UEFA, sebelum ini mengancam untuk memboikot pertandingan FIFA sebagai tindak balas terhadap rancangan berkenaan.
Ancaman itu kemudiannya digantung, namun UEFA tetap menggesa Infantino meletakkan jawatan dan sedang mempersiapkan kemungkinan tindakan undang-undang terhadapnya berhubung dakwaan “salah urus jenayah”.
FFF berkata pihaknya akan memulakan proses rundingan sebelum menentukan calon yang akan disokong bagi menentang Infantino dalam pemilihan yang akan berlangsung pada Kongres FIFA di Rabat, Maghribi.
Montagliani yang juga Naib Presiden FIFA sebelum ini dianggap sekutu rapat Infantino, namun terdapat tanda-tanda beliau mula menjauhkan diri daripada penyandang itu sebelum rancangan pelaburan swasta yang kini dibatalkan diumumkan.
Bagaimanapun, Infantino masih mempunyai sokongan kuat apabila Arab Saudi, tuan rumah Piala Dunia 2034, menyatakan sokongan terhadapnya bulan lalu.
Badan induk bola sepak Afrika (CAF) dan Amerika Selatan (CONMEBOL) turut memberikan sokongan kepada Infantino.
© New Straits Times Press (M) Bhd


