KUALA LUMPUR: Kecerdasan buatan (AI) bakal menjadi lapisan baharu kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia dengan teknologi itu berpotensi meningkatkan produktiviti, daya saing dan nilai yang dijana sektor perniagaan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, Malaysia kini berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan AI berdasarkan asas ekonomi digital yang semakin kukuh.
Katanya, sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang menyumbang RM451.3 bilion atau 23.4 peratus kepada ekonomi negara pada 2024, manakala, teknologi dan perkhidmatan mudah alih menjana kira-kira AS$1 trilion nilai ekonomi di Asia Pasifik pada 2025.
“AI memberi kita peluang untuk membina asas digital ini dan mewujudkan lapisan produktiviti serta pertumbuhan yang seterusnya,” katanya dalam ucapan penutup M360 ASEAN di sini hari ini.
Menurut beliau, peluang yang dibawa AI perlu diterjemahkan kepada nilai sebenar untuk perusahaan, pekerja, pengguna dan masyarakat, bukannya sekadar peningkatan penggunaan teknologi.
Teo berkata, Malaysia menyasarkan untuk menjadi AI Nation yang inklusif dan mampan menjelang 2030, dengan agenda itu memberi tumpuan kepada pengukuhan daya saing, pembangunan penyelesaian tempatan serta pembinaan kepercayaan digital.
Katanya, aspirasi berkenaan sedang diterjemahkan melalui Pelan Tindakan AI Nasional 2026-2030, iaitu pelan hala tuju lima tahun untuk membangunkan negara AI berteraskan nilai dan berpusatkan manusia.
“Ia mengambil pendekatan seluruh negara yang melibatkan kerajaan, perniagaan dan rakyat, disokong 28 inisiatif nasional merangkumi bidang seperti bakat, penyelidikan, data dan kapasiti pengkomputeran serta tadbir urus,” katanya.
Beliau berkata, pembangunan AI juga perlu dilaksanakan secara bertanggungjawab bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang terhasil dapat dinikmati secara lebih meluas.
Dalam konteks ASEAN, katanya, ASEAN Responsible AI Roadmap 2025-2030 dan ASEAN AI Safety Network (ASEAN AI SAFE) menyediakan asas kerjasama serantau bagi memperkukuh kemahiran, keterangkuman, tadbir urus, keselamatan serta pengurusan risiko AI.
Menurut Teo, keyakinan terhadap aspek keselamatan dan kesalingoperasian AI penting kerana ia dapat menggalakkan sektor perniagaan meningkatkan pelaburan, inovasi dan skala penggunaan teknologi berkenaan di rantau ini.
“Transformasi digital sebelum ini adalah mengenai membawa perniagaan dalam talian. Hari ini, transformasi AI adalah mengenai menjadikan perniagaan lebih pintar.
“Persoalannya bukan lagi sama ada AI akan mengubah ekonomi kita. Persoalan yang lebih penting ialah jenis transformasi yang ingin kita wujudkan,” katanya.
Beliau berkata, Malaysia mahu memastikan transformasi berasaskan AI bersifat inovatif, inklusif, selamat dan dipercayai, dengan kepentingan manusia kekal sebagai teras pembangunan teknologi.
Dalam masa sama, beliau berkata, peluang ekonomi digital ASEAN juga perlu dilihat melangkaui sempadan negara, khususnya melalui pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA).
Katanya, ekonomi digital ASEAN berpotensi mencapai sehingga AS$2 trilion menjelang 2030 sekiranya Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dilaksanakan secara berkesan, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada pelaburan dan inovasi berasaskan AI di rantau ini. – UTUSAN
