am@hmetro.com.my
Seremban: Datuk Seri Aminuddin Harun kekal sebagai calon Pakatan Harapan (PH) untuk jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya gabungan itu terus diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata parti sudah mempunyai calon bagi jawatan berkenaan, berbanding pihak lawan yang didakwa masih berebut untuk menentukan calon Menteri Besar.
“Sambung perkhidmatan yang baik kerana Datuk Seri Aminuddin masih lagi calon kita sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
“Kita dah ada calon, kita ada rekod. Sebelah sana beberapa orang berebut, belum mampu umum lagi.
“Jadi kalau lepas PRN, dia baru nak berebut jadi Menteri Besar.” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Perpaduan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat, di sini, malam ini.
Ini adalah kempen ketiga yang dihadiri Anwar yang juga Perdana Menteri sejak kempen PRN Negeri Sembilan bermula pada Sabtu lalu.
Beliau berharap pengundi di Sikamat, Ampangan dan semua DUN memberikan sokongan penuh kepada PH.
“Saya minta kawan-kawan, bagi peluang. Ini tempat saya tahu, Sikamat. Aminuddin dia ada sentimen cukup kuatnya. Dia jaga sini berapa lama.
“Kadang-kadang dia fikir, sebab dia Menteri Besar Negeri Sembilan, dia mesti tunjuk, dia mesti jaga negeri keseluruhannya,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan alasan pihak tertentu yang mahu menolak sokongan terhadap Aminuddin.
Anwar berkata, keputusan memilih kerajaan adalah hak rakyat dalam sistem demokrasi yang menilai berdasarkan rekod kerja pemimpin.
Katanya, rakyat perlu membuat pilihan berdasarkan ‘track record’ dan bukan sekadar janji ketika pilihan raya.
Aminuddin bertanding sebagai calon PH di kerusi DUN Linggi bagi PRN kali ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




