Penunggang motosikal maut kemalangan di LKSA

Penunggang motosikal maut kemalangan di LKSA

SHAH ALAM: Seorang penunggang motosikal menemui ajal selepas terlibat dalam kemalangan dekat Lebuhraya Kemuning Shah Alam (LKSA) berhampiran Uptown Seksyen 24, di sini, hari ini.

Menerusi satu hantaran dalam media sosial Facebook, ‘Ct Juwairieyah’, dia mendakwa lokasi kejadian dikerumuni orang ramai berserta kehadiran polis.

Berdasarkan maklumat dalam ruangan komen, identiti mangsa dipercayai, Sharul Baharin Mohammad dikatakan meninggal dunia di tempat kejadian sebaik sahaja ambulans tiba di sana.

Pengguna media sosial itu memberitahu, kemalangan berlaku berhampiran pasar raya Aeon Big, Seksyen 23, di sini.

“Saya belakang lori, arwah laju hendak menyelit dekat lori. Lori sudah keluar habis. Saya check nadi dah tak ada, tetapi arwah masih bernyawa, ambulans sampai dah tak ada (meninggal dunia) bukti sudah diserahkan dekat IO (pegawai penyiasat),” kata Nor Azliana Mohd. Nawawi.

“Patutlah lalu keluar dari Seksyen 24, nampak kereta polis dekat Aeon Big selepas maghrib tadi,” komen Noradilah Sukri.

Sementara itu, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan mangsa dilaporkan maut.

Terdahulu Utusan Malaysia melaporkan, tiga kemalangan maut berlaku dalam tempoh 12 jam membabitkan penunggang motosikal sejak malam tadi.

Dua daripadanya berlaku dekat Persiaran Mokhtar Dahari, Puncak Alam kira-kira pukul 10.23 malam dan 11 pagi semalam.

Sementara satu lagi insiden pada pukul 8.50 pagi berlaku di Jalan Meru Tambahan, ketika mangsa dalam perjalanan ke kawasan perbandaran baharu itu. – UTUSAN

Scroll to Top