puterialia@hmetro.com.my
Sungai Buloh: Vokalis kumpulan Wings, Datuk Awie memuji usaha murni personaliti media sosial, Syahmi Sazli yang giat menganjurkan persembahan dengan mengetengahkan penyanyi veteran era 1990-an.
Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman berkata, langkah itu perlu disokong kerana ia bukan sahaja membantu penggiat seni terdahulu, malah membangkitkan semula nostalgia industri muzik tanah air.
“Bagus, saya sokong. Dia membantu otai-otai dan penyanyi-penyanyi zaman saya dulu. Alhamdulillah, Syahmi mengenang jasa mereka dan membawa mereka kembali kembali menemui penonton.
“Penonton yang datang pun faham sebab konsepnya memang begitu. Jadi baguslah, saya setuju dan teruskanlah,” katanya ketika ditemui Harian Metro, baru-baru ini.
Bercerita lanjut, Awie menekankan setiap usaha sedemikian perlu disertakan dengan niat yang betul dan ikhlas untuk membantu serta mengenang jasa penggiat seni.
Dalam pada itu, Awie turut tersentuh apabila melihat kemunculan penyanyi veteran, Rahim Maarof yang muncul membuat persembahan, baru-baru ini biarpun dalam keadaan kesihatannya tidak memuaskan.
“Baru-baru ini, saya tengok Rahim Maarof naik ke pentas dalam keadaan sakit, tetapi Alhamdulillah orang tetap ada untuk tengok dia. Syahmi ini antara generasi baru yang mengenang artis lama, syukurlah.
“Ia sedikit-sebanyak dapat kurangkan kerinduan orang ramai terhadapnya. Dulu kita tengok artis itu segak bergaya, kemudian tiba-tiba sakit dan dilupakan, kan tidak bagus begitu?
“Sekurang-kurangnya usaha ini membawa kembali nostalgia. Terima kasih banyak-banyak kepada Syahmi,” katanya.
Katanya, dia mengagumi sikap Syahmi dan berharap agar generasi muda terus mengingati penggiat seni sepertinya pada masa hadapan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




