Kedai Emas Sri Semantan lancar cawangan ke-20 di Pasir Gudang

Kedai Emas Sri Semantan lancar cawangan ke-20 di Pasir Gudang

Pasir Gudang : Menawarkan emas preloved tanpa caj upah serta nilai tukar beli (trade-in) sehingga 100 peratus terus menjadi tarikan utama Kedai Emas Sri Semantan (KESS) yang kini rasmi membuka cawangan ke-20 di Kota Masai, di sini.

Perasmian cawangan baharu itu disempurnakan oleh Pengerusi dan Pengasas KESS, Mohamad Hafizal Mahmood, sekali gus menjadikannya cawangan kedua di Johor selepas Batu Pahat dan berfungsi sebagai Wisma Sri Semantan bagi wilayah Selatan.

Ahli Lembaga Pengarah KESS, Sharif Saman berkata, konsep jualan emas preloved yang dibawakan syarikat mendapat sambutan menggalakkan kerana memberi pilihan lebih kompetitif dan menguntungkan buat pembeli.

“Keunikan kami ialah memberi fokus kepada urus niaga emas preloved dengan tawaran nilai trade-in sehingga 100 peratus. Sebab itu perkembangan KESS berlaku pantas sehingga mencapai 20 cawangan di seluruh negara,” katanya selepas majlis perasmian.

Tambah beliau, permintaan terhadap barangan kemas kekal stabil dan memberangsangkan biarpun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, malah ada cawangan yang berjaya mengatasi sasaran petunjuk prestasi utama (KPI).

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah KESS, Shaaini Md Jumaat menjelaskan pemilihan Pasir Gudang dipengaruhi faktor kedudukannya yang strategik bagi memudahkan kemasukan pelanggan dari Singapura.”

Sebelum ini pelanggan dari republik itu perlu ke cawangan Shah Alam atau Kajang. Pembukaan di Pasir Gudang ini membolehkan mereka berurusan dengan lebih dekat dan mudah,” katanya.

Selepas Pasir Gudang, KESS merancang untuk melebarkan lagi sayap perniagaannya ke Wangsa Maju, Kuala Lumpur serta Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top