PORT DICKSON – Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berpendapat, cadangan untuk beliau berdebat dengan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias sepatutnya disuarakan lebih awal bukannya sekarang.
Menurut beliau, tempoh kempen yang ada mahu digunakan sebaik mungkin bertemu dengan pengundi, namun bersedia untuk mempertimbangkannya.
“Saya rasa waktu itu agak suntuk. Sepatutnya lebih awal kalau dia mahu berdebat dengan saya kerana kita sudah berada di penghujung fasa kempen.
“Saya perlu menggunakan masa yang ada ini untuk berkempen berjumpa dengan pengundi,” katanya kepada pemberita pada Khamis.

Aminuddin (tengah) bertemu pengundi di DUN Linggi. Foto Facebook Aminuddin
Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Jalaluddin tidak mempunyai hasrat berdebat dengan mana-mana pihak, namun bersedia menerima pelawaan sekiranya dikemukakan pihak lawan.
Beliau berkata demikian ditanya sama ada bersedia berdebat dengan Aminuddin yang dinamakan PH sebagai calon Menteri Besar.
Pertanyaan mengenai kemungkinan debat tersebut timbul kerana Jalaluddin merupakan antara tokoh utama BN di Negeri Sembilan, selain mengetuai 14 Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) UMNO-BN yang mengumumkan hilang kepercayaan sekali gus menarik sokongan terhadap Aminuddin pada 27 April lalu.
Mengulas lebih lanjut, ujar Aminuddin, sekiranya menerima pelawaan daripada pihak lawan, beliau akan meneliti terlebih dahulu cadangan dan topik yang ingin didebatkan.
Tambah calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu, sebarang debat perlulah mempunyai skop dan hala tuju yang jelas.
“Saya akan melihat kesesuaian dan keperluan untuk mengadakan debat berkenaan. Ada perkara yang sensitif yang tidak perlu diperdebatkan kerana itu akan memberikan satu kesan yang buruk,” katanya.



