REMBAU: Malaysia telah menegaskan secara rasmi kepada kerajaan Amerika Syarikat (AS) bahawa pendirian negara yang tidak mengiktiraf Israel selain ia merupakan dasar sedia ada yang telah lama dilaksanakan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, Duta Besar Malaysia ke AS, Tan Sri Mohamed Shahrul Ikram Yaakob telah dihubungi oleh Jabatan Negara AS bagi mendapatkan penjelasan berhubung perkara tersebut.
Menurutnya, Duta Besar Malaysia memaklumkan bahawa dasar Malaysia, termasuk dasar imigresennya, sejak sekian lama tidak mengiktiraf negara Israel.
“Memang menjadi dasar Malaysia dan dasar imigresen kita untuk tidak mengiktiraf Israel. Ini bukan perkara baharu.
“Isu ini timbul kerana seorang individu yang mempunyai dua kewarganegaraan, iaitu AS dan Israel memasuki Malaysia menggunakan kewarganegaraan AS.
“Bagaimanapun, selepas semakan dibuat, didapati individu berkenaan turut memiliki kewarganegaraan Israel maka kita minta dia keluar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program Santai Bersama Tok Mat Hasan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan di Pedas, Rembau, hari ini.
Beliau berkata, Wisma Putra turut berhubung dengan Kedutaan AS di Kuala Lumpur bagi menjelaskan perkara berkenaan.
Katanya, kedua-dua pihak bersetuju menguruskan isu itu menerusi saluran diplomatik malah Jabatan Negara AS menghormati pendirian Malaysia yang sejak dahulu lagi tidak mengiktiraf Israel.
“Department of State menghormati dasar Malaysia kerana kita sememangnya tidak mengiktiraf Israel. Jadi, tidak timbul sebarang isu,” katanya. –UTUSAN




