Pembangunan seimbang jadi agenda Noorzunita di Pilah

Pembangunan seimbang jadi agenda Noorzunita di Pilah

KUALA PILAH – Pelbagai projek yang dilaksanakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Negeri Sembilan sejak 2018 terus mengubah landskap pembangunan Kuala Pilah tanpa mengetepikan identiti daerah yang terkenal dengan suasana kampung dan kegiatan pertanian.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pilah, Datuk Noorzunita Begum Mohd Ibrahim berkata, antara perubahan yang paling ketara ialah pembinaan Dataran Melang yang kini muncul sebagai ikon baharu daerah itu, selain pemasangan skrin LED gergasi yang menunaikan salah satu manifesto kerajaan negeri.

“Pembangunan di Kuala Pilah semakin berkembang dan Dataran Melang kini menjadi antara lokasi tumpuan pengunjung yang datang ke daerah ini.

“Walaupun pembangunan terus dipacu, identiti Kuala Pilah sebagai daerah yang kaya dengan tradisi serta aktiviti pertanian dan penternakan masih dapat dikekalkan. Itulah keunikan yang perlu terus dipelihara,” katanya.

Beliau yang juga penyandang kerusi DUN Pilah berkata, sektor kesihatan turut diperkasakan menerusi pembinaan bangunan baharu Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) bernilai RM153 juta yang kini telah beroperasi sekali gus membantu mengurangkan kesesakan di hospital sedia ada.

Menurutnya, pelaksanaan projek menaik taraf Jalan Seremban-Kuala Pilah, penurapan jalan kampung serta kerja penyelenggaraan jalan di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) turut meningkatkan tahap kesalinghubungan dan kemudahan infrastruktur untuk penduduk.

Noorzunita (kiri) ketika bertemu pengundi sekitar DUN Pilah.

Noorzunita (kiri) ketika bertemu pengundi sekitar DUN Pilah.

Mengulas perancangannya sekiranya diberi mandat semula, Noorzunita berkata, aspek kebajikan warga emas yang tidak mempunyai pencen dan akses pendidikan anak-anak tempatan akan terus diberi perhatian.

Katanya, berdasarkan pengalaman hampir tiga tahun berkhidmat sebagai wakil rakyat, masih ramai penduduk berusia antara 55 hingga 70 tahun berdepan cabaran meneruskan kehidupan selepas tidak lagi mempunyai pendapatan tetap.

“Golongan ini kebanyakannya terdiri daripada bekas pekerja sektor tidak formal, suri rumah dan mereka yang bekerja sendiri. Ramai ibu bapa kita dahulu bekerja kampung atau mengambil upah tanpa caruman pencen.

“Apabila usia meningkat, mereka masih perlu menanggung kos sara hidup, namun peluang pekerjaan semakin terhad disebabkan faktor umur,” katanya.

Beliau berkata, keadaan itu memerlukan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan golongan berkenaan tidak tercicir daripada menikmati bantuan dan sokongan kerajaan.

Sehubungan itu katanya, PH Negeri Sembilan menawarkan penambahbaikan Inisiatif Wang Keceriaan Warga Emas dengan menurunkan had umur kelayakan daripada 70 kepada 65 tahun.

Katanya, menerusi inisiatif itu, warga emas berusia 65 hingga 69 tahun akan menerima bantuan RM200, manakala mereka yang berumur 70 tahun ke atas menerima RM300.

Selain itu, beliau berkata, peluasan Skim Sejahtera Rakyat (SSR) kepada isi rumah berpendapatan di bawah RM8,000 dijangka memberi manfaat kepada lebih ramai keluarga termasuk golongan M40 yang mempunyai anak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Saya mahu Pilah terus bergerak maju dan berdaya saing, namun pembangunan yang dilaksanakan perlu seiring dengan usaha menjaga kebajikan rakyat serta memastikan anak-anak mendapat peluang pendidikan yang lebih baik,” katanya.

Scroll to Top