Geng Fitri didalangi pemuda 22 tahun tumpas, terbabit kes curi kabel dan pecah kontena

Geng Fitri didalangi pemuda 22 tahun tumpas, terbabit kes curi kabel dan pecah kontena

am@hmetro.com.my

Alor Setar: Geng Fikri yang aktif dalam kegiatan mencuri kabel, pecah kontena dan kegiatan jenayah harta benda di negeri ini akhirnya tumpas apabila mereka ditahan dalam serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, kumpulan ini berjaya meloloskan diri ketika cuba mencuri kabel di Padang Terap pada 29 Jun lalu ketika dikejar anggota Unit Kereta Peronda (MPV) pada jam 5.30 pagi.

Beliau berkata, ketika itu kesemua mereka menaiki kenderaan Isuzu Dmax putih namun sebaik melihat kenderaan polis, mereka melarikan diri ke arah Pendang sebelum ke kawasan kelapa sawit di Bedong, daerah Kuala Muda.

“Namun pada jam 5 petang pada 14 Julai lalu, satu pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya mengesan kenderaan terbabit di kawasan Titi Akar, daerah Pendang.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kenderaan itu dinaiki lima individu iaitu empat lelaki dan seorang wanita berusia 27 tahun yang juga teman wanita kepada ketua kumpulan yang ditahan berusia 22 tahun,” katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini hari ini.

Adzli berkata, pihaknya turut merampas pelbagai barangan serta kenderaan terbabit untuk membantu siasatan.

Beliau berkata, daripada lima yang ditahan, empat daripadanya positif dadah manakala wanita terbabit bebas dadah.

“Susulan itu, dua lelaki ditahan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti haram kumpulan terbabit sekitar daerah Sungai Petani.

“Hasil siasatan awal mendapati, kesemua suspek mengaku terbabit dalam kegiatan jenayah bersama lapan suspek yang masih bebas.

“Siasatan turut mendapati, kumpulan itu mengaku terbabit mengaku terbabit dalam 12 kes jenayah iaitu empat kecurian, satu kes kecurian kereta, tiga kes kecurian komponen kenderaan, dua kes kecurian minyak diesel dan satu kes pecah cermin kenderaan yang berlaku di beberapa daerah di negeri ini, ” katanya.

Adzli berkata, selain itu terdapat satu kes di Pulau Pinang dan Perlis yang membabitkan kecurian kabel.

Beliau berkata, siasatan mendapati, kumpulan ini bergerak aktif sejak awal bulan Jun lalu dan modus operandi kumpulan ini adalah dengan bergerak secara berkumpulan menggunakan kenderaan yang dicuri, menyamar sebagai kontraktor pembaikan kabel yang dilengkapi pelbagai peralatan khas bagi tujuan mencuri kabel.

“Kabel yang dicuri kemudiannya diproses dan dijual kepada pembeli barangan terpakai bagi mendapatkan keuntungan yang dipercayai digunakan untuk perbelanjaan peribadi serta membeli dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan, Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 235 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top