sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jaguh gimnastik artistik negara, Ng Chun Chen percaya rutin melombol berkadar kesukaran tinggi yang dimilikinya mampu menjadi senjata utama untuk memburu pingat pada penampilan sulung di Sukan Komanwel Glasgow.
Atlet berusia 24 tahun dari Pulau Pinang itu hadir dengan keyakinan tinggi selepas mencipta kejayaan terbesar dalam karier apabila muncul juara acara melombol pada Piala Cabaran Dunia FIG di Varna, Bulgaria, Mei lalu, sekali gus menghadiahkan gelaran antarabangsa utama pertama buat dirinya dan gimnastik artistik lelaki negara.
Kejayaan itu turut mengukuhkan status Chun Chen sebagai antara prospek terbaik Malaysia untuk meraih pingat dalam saingan gimnastik artistik yang berlangsung dari 24 hingga 28 Julai.
Menurutnya, tahap kesukaran rutin melombol yang dipersembahkan adalah antara yang tertinggi dalam kalangan peserta, namun ia hanya akan memberi kelebihan jika dapat dilaksanakan dengan sempurna.
“Saya tidak rasa ramai gimnas di sini melakukan rutin dengan tahap kesukaran yang sama seperti saya. Saya tidak pasti berapa orang, tetapi saya tahu jumlahnya tidak ramai.
“Itu memberi peluang kepada saya, tetapi saya tetap perlu melakukan persembahan terbaik. Rutin yang sukar tidak bermakna jika pelaksanaannya tidak kemas, jadi konsistensi adalah perkara paling penting.
“Saya juga pernah bertanding dengan gimnas yang mempunyai tahap kesukaran sama, jadi akhirnya kami hanya perlu memberikan yang terbaik,” katanya.
Dalam acara melombol, markah ditentukan berdasarkan gabungan tahap kesukaran rutin dan kualiti pelaksanaannya, menjadikan rutin berisiko tinggi mampu memberikan kelebihan jika berjaya disempurnakan.
Prestasi semasa Chun Chen membuktikan dia berada di landasan terbaik apabila selain muncul juara di Varna, dia turut mara ke final acara lombol dalam beberapa siri Piala Dunia FIG di Antalya dan Osijek, selain beraksi pada Kejohanan Dunia, Kejohanan Asia dan Sukan Universiti Dunia.
Kejayaan di Bulgaria juga cukup bermakna selepas dia bangkit daripada pengalaman pahit apabila terjatuh ketika beraksi di Piala Dunia Antalya tahun lalu yang menjejaskan keyakinan serta prestasinya.
Mengulas persiapan di Glasgow, Chun Chen mengakui kemampuan menyesuaikan diri dengan peralatan pertandingan dalam tempoh singkat akan menjadi faktor penting kerana setiap kejohanan menggunakan spesifikasi peralatan yang berbeza.
“Peralatan di Malaysia berbeza, di Eropah berbeza, di Asia juga berbeza, malah di Amerika Syarikat pun tidak sama.
“Jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat. Nasib baik kami sudah biasa beraksi di pelbagai kejohanan, jadi sekarang hanya perlu menyesuaikan diri secepat mungkin,” katanya.
Malaysia mempertaruhkan tiga gimnas artistik lelaki di Glasgow iaitu Chun Chen bersama Muhammad Sharul Aimy dan Luqman Al Hafiz Zulfa, manakala cabaran wanita diketuai Rachel Yeoh, Yap Kang Xian dan Cadence Teh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




