PETALING JAYA: Usaha merapatkan jurang kemahiran serta memenuhi keperluan tenaga kerja mahir dalam sektor automotif negara terus diperkasa menerusi pemberian bantuan pendidikan dan tajaan latihan kemahiran.
Langkah tersebut memastikan belia khususnya daripada golongan kurang berkemampuan mempunyai akses kepada pendidikan vokasional yang mampu menjamin kerjaya masa depan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Cycle & Carriage Malaysia, Adrian Short berkata, inisiatif tahunan yang memasuki edisi keenam itu mencatatkan jumlah penerima tertinggi sejak mula diperkenalkan pada tahun 2021.
“Pelaburan paling bernilai bagi sebuah organisasi adalah pembangunan modal insan dan keupayaan tenaga kerja.
“Kami memberikan menawarkan keyakinan, peluang serta laluan kerjaya yang jelas untuk mereka berjaya dalam industri automotif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihak syarikat berbangga dapat bekerjasama dengan institusi pendidikan dalam membangunkan generasi baharu profesional automotif yang bakal memacu industri negara.
“Sembilan penerima bertuah tersebut terdiri daripada pelajar Kolej Antarabangsa Despark (DSIC) dan Akademi Esnet.
“Enam penerima Geran Pengajian menerima bantuan kewangan bernilai RM10,000 setiap seorang, manakala tiga penerima Program Penajaan membawa pulang bantuan bernilai RM8,000,” katanya.
Menurutnya, kesemua penerima turut ditawarkan peluang pekerjaan bersama Cycle & Carriage selama dua tahun pertama selepas tamat pengajian bagi menimba pengalaman praktikal di lapangan.
“Program tahunan berkenaan terbuka kepada warga Malaysia berumur 16 tahun ke atas yang mengikuti program latihan automotif berakreditasi di bawah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) atau Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” katanya. – UTUSAN




