suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay mengumumkan bersara pada Ahad ini selepas hampir 35 tahun berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Beliau yang menyifatkan tempoh berkhidmat dalam pasukan sebagai satu perjalanan panjang berkata, selepas ini beliau akan lebih menumpukan kepada masa berehat.
“Insya-Allah, Ahad ini adalah hari terakhir saya dalam pasukan selepas berkhidmat hampir 35 tahun bersama polis,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran buku biografinya ‘Dari Pendang ke Bukit Aman: Jejak Integriti’ di Kuala Lumpur Golf & Country Club, di sini, hari ini.
Ayob Khan sebelum ini pernah menerajui beberapa jawatan penting dalam PDRM termasuk Ketua Polis Johor, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) sebelum dilantik sebagai Timbalan KPN pada Jun 2023.
Mengulas kehidupan selepas bersara, Ayob berseloroh, beliau mungkin membuka restoran mamak sebagai satu suasana baharu untuk dirinya.
“Selepas ini, mungkin anda akan nampak saya memakai kain sarung dan baju pagoda sambil menebar roti canai,” katanya
.
Menurutnya, beberapa tawaran sudah diterima namun belum membuat sebarang keputusan berhubung perkara itu.
“Ada beberapa tawaran, tetapi saya belum memikirkannya lagi. Insya-Allah, saya akan fokus untuk berehat dahulu.
“Selepas ini, mungkin akan ada satu lagi buku (akan) ditulis dengan lebih terperinci, merangkumi operasi yang saya pernah sertai untuk dikongsi dengan masyarakat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




