Laporan RCI TH wajar didedahkan – Fahmi

Laporan RCI TH wajar didedahkan – Fahmi

JEMPOL – Laporan akhir Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) wajar didedahkan kepada umum bagi memastikan pendeposit, pencarum dan rakyat memperoleh gambaran menyeluruh mengenai perkara yang berlaku sebelum ini, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, pendedahan laporan berkenaan selaras dengan prinsip ketelusan dan keadilan, selain membolehkan orang ramai memahami isu sebenar yang dibangkitkan menerusi siasatan itu.

“Ini atas prinsip ketelusan dan kita inginkan keadilan dan saya percaya dengan pengurusan dan pentadbiran Tabung Haji yang baharu, ia telah diletakkan pada kedudukan yang jauh lebih baik berbanding sebelum ini. 

“Saya harap laporan ini dapat diterbitkan dalam masa dan kadar segera supaya dapat diteliti serta dibaca sepenuhnya oleh rakyat Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Kasih Madani di Felda Palong 1 di sini pada Khamis.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Anwar berkata, beliau akan meneliti keputusan untuk menerbitkan laporan itu bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, yang dijangka selewat-lewatnya pada Rabu depan.- Bernama

Scroll to Top