Enam calon sertai debat rebut jawatan Setiausaha Agung PBB

Enam calon sertai debat rebut jawatan Setiausaha Agung PBB

NEW YORK: Enam calon yang bersaing untuk jawatan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan berdebat di Dewan Perhimpunan Agung pada Khamis, seminggu sebelum proses pemilihan rasmi bermula bagi menentukan pemimpin baharu organisasi yang kini berdepan krisis besar itu.

Tanpa calon pilihan yang benar-benar menonjol dan kempen yang dilihat kurang mendapat sambutan, para calon itu akan berdepan sesi soal jawab selama 90 minit daripada diplomat, kakitangan PBB serta wakil masyarakat sivil dalam acara yang bermula pukul 5 petang (waktu tempatan) dan disiarkan oleh Bloomberg.

Calon yang bertanding ialah bekas presiden Chile, Michelle Bachelet; bekas menteri luar Ecuador, Maria Fernanda Espinosa; Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Rafael Grossi dari Argentina; Rebeca Grynspan dari Costa Rica; Carolyn Rodrigues-Birkett dari Guyana dan bekas presiden Senegal, Macky Sall.

Kesemua mereka bersaing untuk menggantikan Setiausaha Agung PBB yang bakal berundur, Antonio Guterres.

“Sidang dewan PBB ini akan memberikan peluang untuk berinteraksi dengan idea, keutamaan serta visi kepimpinan para calon bagi salah satu jawatan terpenting di dunia.

“Dalam dunia yang semakin berpecah, PBB bukan sahaja memerlukan seorang pentadbir unggul yang mampu menjadikan organisasi ini sesuai untuk abad ke-21, tetapi juga kepimpinan dan integriti daripada seseorang yang bersedia mempertahankan Piagam PBB serta tiga tonggak utamanya,” ,” kata Presiden Perhimpunan Agung PBB, Annalena Baerbock.

PBB kini berdepan krisis kewangan dan keyakinan yang serius, dengan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menuduh organisasi itu berbelanja secara melulu, memikul terlalu banyak tanggungjawab dan gagal mencapai hasil yang memuaskan.

AS mahu PBB kembali memberi tumpuan kepada tujuan asasnya iaitu keamanan dan keselamatan, manakala negara lain menegaskan kepentingan sama rata bagi dua tonggak lain iaitu hak asasi manusia dan pembangunan.

Dalam keadaan itu, penganalisis International Crisis Group, Richard Gowan memberitahu AFP persaingan kali ini kelihatan kurang bertenaga berbanding kempen 2016 yang lebih rancak dengan lebih ramai calon serta pelbagai perkembangan sebelum Guterres akhirnya dipilih.

“Kali ini, semua pihak bersetuju perlumbaan ini amat penting untuk masa depan PBB, tetapi persaingan itu sendiri agak berhati-hati.

“Ada perasaan bahawa calon-calon bergerak dengan cermat bagi mengelak menyinggung AS dan kuasa veto lain,” katanya.

Kesemua calon sebelum ini sudah menjalani sesi soal jawab selama tiga jam setiap seorang bersama wakil daripada 193 negara anggota PBB.

Kebanyakan mereka menekankan keperluan meneruskan pembaharuan dalam organisasi itu bagi menjadikannya lebih cekap, selain meningkatkan peranan Setiausaha Agung dalam usaha keamanan di seluruh dunia.

Pada 30 Julai, 15 anggota Majlis Keselamatan PBB dijadual mengadakan pengundian tertutup pertama secara sulit untuk menilai calon pilihan mereka.

Undian awal itu akan diikuti dengan beberapa pusingan pengundian lain yang jumlahnya belum ditetapkan sehingga seorang calon memperoleh sekurang-kurangnya sembilan undi tanpa menerima bantahan veto daripada mana-mana lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Nama calon yang dipilih kemudian akan dihantar kepada Perhimpunan Agung PBB untuk pelantikan rasmi.

Setiausaha Agung baharu itu akan mula memegang jawatan pada 1 Januari 2027.

Beberapa diplomat yang ditemu bual berhati-hati dalam menjangka keputusan perlumbaan itu, sambil berkata, beberapa negara masih belum membuat pilihan.

“Saya mendapati Grossi masih merupakan calon pendahulu yang paling kerap disebut, tetapi beliau belum menguasai perlumbaan ini. Calon lain seperti Grynspan dan Rodrigues-Birkett juga mempunyai ramai penyokong,” kata Gowan, sambil menyatakan calon luar jangka masih berpotensi muncul.

Beberapa nama lain turut disebut dalam kalangan pegawai PBB dan media, termasuk Presiden FIFA, Gianni Infantino, yang menurut laporan New York Post dikatakan mendapat sokongan Trump untuk menerajui PBB.

Mengikut tradisi penggiliran wilayah yang tidak semestinya sentiasa dipatuhi, Amerika Latin kali ini mengemukakan tuntutan untuk jawatan tersebut.

Banyak negara juga menggesa agar seorang wanita dipilih untuk memegang jawatan Setiausaha Agung PBB buat pertama kali dalam sejarah.-AFP

Scroll to Top