Siasatan dakwaan salah laku pengarah hospital di Sabah selesai

Siasatan dakwaan salah laku pengarah hospital di Sabah selesai

Kota Kinabalu: Siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku, serangan seksual dan buli di tempat kerja membabitkan seorang pengarah hospital di Sabah yang tular di media sosial sejak semalam telah selesai.

Malah, tindakan susulan sedang dilaksanakan mengikut prosedur serta peruntukan undang-undang.

Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam kenyataan hari ini memaklumkan bahawa hasil siasatan oleh jawatankuasa khas yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM) bagi menyiasat dakwaan itu telah diperoleh, manakala syor tindakan kini sedang dilaksanakan.

Menurut JKNS, siasatan terperinci berhubung insiden itu telah selesai dijalankan oleh jawatankuasa khas berkenaan.

JKNS menegaskan pihaknya tidak berkompromi terhadap sebarang perlakuan sedemikian kerana ia bertentangan dengan nilai integriti dan etika perkhidmatan awam, selain memberi kesan terhadap kesejahteraan fizikal serta mental warga kerja kesihatan.

“JKNS kekal komited untuk memastikan setiap warga kerja dapat menjalankan tugas dalam persekitaran yang selamat, saling menghormati dan kondusif demi memelihara integriti organisasi serta kebajikan warga kerjanya,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata dakwaan gangguan seksual yang tular di media sosial sejak semalam itu sebenarnya membabitkan kejadian yang didakwa berlaku pada Oktober tahun lalu.

Beliau berkata polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan sebaik sahaja menerima laporan berhubung dakwaan itu pada Januari lalu dan siasatan masih diteruskan bagi melengkapkan kes berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top