Milan: Pep Guardiola dilaporkan semakin hampir menolak tawaran untuk menjadi ketua jurulatih Itali selepas rundingan dengan Persekutuan Bola Sepak Itali (FIGC) gagal menemui kata sepakat, terutama berkaitan tuntutan gaji yang tinggi.
Guardiola dikatakan meminta bayaran sekitar £17 juta setahun (RM98 juta) untuk mengambil alih tugas membimbing skuad Azzurri, sekali gus melebihi kemampuan biasa badan bola sepak negara itu walaupun FIGC bersedia membuat pengecualian kewangan bagi mendapatkan khidmat pengendali berprofil tinggi itu.
Itali sebelum ini menghubungi Guardiola selepas mencari pengganti Gennaro Gattuso yang berundur berikutan kegagalan pasukan itu layak ke Piala Dunia buat kali ketiga berturut-turut.
Pengarah teknikal Itali, Paolo Maldini mengesahkan pihaknya turut berbincang dengan Guardiola selepas terlebih dahulu mendapatkan pandangan Carlo Ancelotti mengenai jawatan berkenaan.
Namun, selain faktor kewangan, Guardiola juga dilaporkan masih mahu mengambil masa berehat selepas meninggalkan Manchester City pada penghujung musim lalu selepas sedekad penuh kejayaan di England.
Bekas pengendali Barcelona dan Bayern Munich itu meninggalkan City selepas memenangi pelbagai trofi utama termasuk beberapa kejuaraan Liga Perdana Inggeris dan Liga Juara-Juara sepanjang tempoh pemerintahannya di Stadium Etihad.
Presiden FIGC, Giovanni Malago sebelum ini mengakui pihaknya sanggup memberi kelonggaran dari segi bajet untuk mendapatkan jurulatih bertaraf dunia seperti Guardiola, namun tiada jaminan rundingan itu akan berjaya.
Maldini bagaimanapun menegaskan faktor kewangan bukan perkara utama buat Guardiola selepas timbul laporan mengenai permintaan gaji tinggi tersebut.
Sekiranya gagal mendapatkan Guardiola, Itali masih mempunyai beberapa pilihan lain termasuk bekas jurulatih mereka, Antonio Conte, Roberto Mancini serta Andrea Pirlo untuk membina semula kekuatan Azzurri.
Itali kini berdepan misi besar untuk memulihkan reputasi bola sepak negara itu selepas terlepas tiga edisi terakhir Piala Dunia dan memerlukan pengendali yang mampu membawa perubahan menyeluruh.
© New Straits Times Press (M) Bhd




