Glasgow: Petinju India, Lovlina Borgohain mencipta sejarah awal buat kontinjen negaranya apabila sudah mengesahkan sekurang-kurangnya pingat gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 walaupun belum turun beraksi.
Juara dunia 2023 itu menerima laluan terus ke separuh akhir acara tinju wanita kategori 75 kilogram selepas mendapat bye pusingan pertama dalam undian yang hanya menampilkan lima petinju.
Situasi itu secara automatik memastikan Lovlina berada dalam kelompok empat terbaik sekali gus menjamin sekurang-kurangnya satu pingat buat India pada temasya berkenaan.
Petinju berusia 28 tahun itu dijadualkan berdepan wakil Tuvalu, Tarona Khanum Badi Pasoni Taafaki pada aksi separuh akhir 31 Julai dengan pemenang akan mara ke pertarungan akhir bagi merebut pingat emas.
Kejayaan itu menjadi detik penting buat Lovlina kerana pingat Sukan Komanwel antara pencapaian utama yang masih belum dimiliki dalam kariernya selepas pernah meraih gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan emas Kejohanan Dunia Tinju Wanita 2023.
Lovlina sebelum ini berdepan cabaran pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel Birmingham 2022 apabila terkandas di suku akhir selepas tewas kepada wakil Wales, Rosie Eccles.
Kini, petinju kelahiran Assam itu hadir ke Glasgow dengan pengalaman lebih luas dan menjadi antara sandaran utama India untuk memburu kejayaan dalam acara tinju.
“Saya mahu memberikan yang terbaik dan menukar peluang ini kepada pingat emas,” kata Lovlina sebelum temasya bermula.
Selain menjadi harapan utama India dalam tinju, Lovlina turut diberi penghormatan apabila dipilih sebagai pembawa bendera kontinjen India bersama jaguh angkat berat, Mirabai Chanu pada majlis pembukaan Glasgow 2026.
India kini mengharapkan Lovlina mampu meneruskan prestasi cemerlang selepas kejayaan di pentas Olimpik dan dunia, sekali gus menambah koleksi pingat negara itu di Sukan Komanwel.
© New Straits Times Press (M) Bhd




