Barcelona: Tonggak tengah Barcelona, Frenkie de Jong disahkan mengalami koyakan ligamen kolateral medial (MCL) di lutut kanan ketika beraksi bersama Belanda pada kempen Piala Dunia 2026.
Kelab juara La Liga itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemain berusia 29 tahun itu akan menjalani rawatan konservatif di bawah pemantauan pasukan perubatan kelab, manakala perkembangan kecederaannya akan dinilai dalam tempoh beberapa minggu akan datang.
De Jong berkata, kecederaan itu hanya dikenal pasti selepas pulang ke Barcelona apabila pemeriksaan lanjut mendapati keadaannya lebih serius berbanding diagnosis awal yang diberikan oleh pasukan perubatan Belanda.
“Ketika Piala Dunia, saya mengalami kecederaan lutut. Selepas pemeriksaan awal, doktor pasukan kebangsaan memberitahu ia hanyalah kecederaan kecil dan tidak akan menjadi lebih buruk jika saya terus bermain.
“Satu-satunya cabaran adalah menahan kesakitan, tetapi sepanjang karier saya, saya sentiasa bermain jika masih mampu membantu pasukan, sama ada bersama kelab atau negara,” katanya menerusi Instagram.
De Jong memulakan aksi dalam dua perlawanan peringkat kumpulan sebelum terlepas perlawanan terakhir yang menyaksikan Belanda menewaskan Tunisia 3-1.
Bagaimanapun, dia kembali beraksi selama 109 minit ketika Belanda tewas menerusi penentuan penalti kepada Maghribi pada pusingan 32 terbaik.
Menurutnya, pemeriksaan lebih menyeluruh sebaik kembali menyertai Barcelona mengesahkan kecederaan itu lebih serius daripada jangkaan awal.
“Syukur buat masa ini saya tidak memerlukan pembedahan dan kini fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan supaya dapat kembali beraksi secepat mungkin,” katanya.
Barcelona dijadual memulakan kempen mempertahankan kejuaraan La Liga dengan bertandang ke gelanggang Elche pada 24 Ogos.
© New Straits Times Press (M) Bhd




