am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Beberapa individu ditahan selepas seorang pelajar berusia 16 tahun dan bapanya dipukul dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah kebangsaan di Seri Kembangan, di sini, yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad, berkata, semua individu terbabit akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya, hari ini, bagi permohonan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung pergaduhan membabitkan beberapa pelajar dan bapa kepada seorang daripada pelajar terbabit.
“Kejadian berlaku kira-kira jam 12.45 tengah hari pada 3 Julai lalu ketika mangsa sedang menuju ke motosikalnya di luar sekolah.
“Mangsa dipanggil beberapa pelajar sekolah sama sebelum dikepung dan dipukul oleh semua suspek,” katanya dalam kenyataan.
Muhamad Farid berkata, mangsa mengalami luka di bahagian bibir dan lutut serta sakit dan lebam di seluruh badan.
Katanya, bapa mangsa yang cuba meleraikan pergaduhan turut dipukul hingga terjatuh di atas jalan.
“Bapa mangsa mengalami kecederaan di tangan dan kaki serta sakit di seluruh badan.
“Polis bekerjasama dengan pihak sekolah dan ibu bapa bagi memastikan kejadian ini ditangani secara profesional serta mengikut undang-undang,” katanya.
Beliau berkata, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dipenjara maksimum dua tahun atau didenda atau kedua-duanya.
Kes turut disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Muhamad Farid menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang di talian 03-8074 2222 atau mana-mana balai polis berhampiran.
© New Straits Times Press (M) Bhd




