mahanum_aziz@bh.com.my
Kuala Lumpur: Ekonomi Malaysia dijangka terus menunjukkan prestasi kukuh apabila unjuran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026 dianggarkan berkembang 5.8 peratus, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.4 peratus yang dicatatkan pada suku pertama tahun ini.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican berkata, anggaran awal KDNK suku kedua yang kukuh itu menunjukkan langkah yang dilaksanakan kerajaan dalam memastikan momentum pertumbuhan ekonomi terus dipelihara walaupun dunia masih berdepan ketidaktentuan susulan konflik di Asia Barat.
Menurutnya, pencapaian itu menunjukkan pengurusan ekonomi negara kekal berada pada landasan yang baik hasil pelaksanaan beberapa langkah bersasar, termasuk pengurusan subsidi diesel dan penambahan dana pembiayaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang berpotensi terjejas akibat perkembangan geopolitik.
Selain itu, katanya, penyelarasan dasar menerusi Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut membantu mengukuhkan daya tahan ekonomi serta mengekalkan kestabilan dalam keadaan persekitaran global yang mencabar.
“Langkah yang sudah diselaraskan oleh MTEN jelas menunjukkan bahawa ia dapat membantu menyokong momentum pertumbuhan ekonomi dan kestabilan ekonomi negara walaupun berhadapan dengan cabaran ketidaktentuan daripada Asia Barat.
“Dengan itu, kerajaan yakin bahawa langkah sebelum itu akan terus memastikan bahawa ekonomi kekal kukuh walaupun berhadapan dengan ketidaktentuan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Suruhanjaya Sekuriti dan Niaga Hadapan Hong Kong (SFC) di sini, semalam.
Mengenai persediaan Belanjawan 2027, Johan berkata, masih terlalu awal untuk menentukan penanda aras bagi paras harga minyak yang akan digunakan dalam penyediaan Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, beliau berkata, konflik di Asia Barat yang masih berlarutan dijangka menyebabkan harga minyak dunia kekal lebih tinggi berbanding paras sebelum krisis, sekali gus memerlukan kerajaan terus memantau perkembangan semasa.
Justeru, pentingnya untuk kerajaan teruskan langkah dasar bagi memastikan keterjaminan bekalan supaya aktiviti ekonomi terus berjalan lancar.
“Kita akan terus memantau keadaan dengan langkah untuk memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




