Pendaftaran kenderaan elektrik naik 7.8 peratus

Pendaftaran kenderaan elektrik naik 7.8 peratus

Kuala Lumpur: Jumlah pendaftaran kenderaan elektrik (EV) meningkat 7.8 peratus kepada kira-kira 32,000 unit dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selepas mencatatkan satu lagi pertumbuhan yang kukuh pada Jun lalu sebanyak 6,215 unit.

Penganalisis RHB Research, Iftaar Hakim Rusli berkata, PROTON kekal sebagai jenama EV yang paling laris terjual pada Jun lalu, apabila data terbitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang mengambil kira bukan ahli Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan bahawa jenama kereta nasional itu menerajui jumlah pendaftaran dengan 1,888 unit, diikuti oleh BYD sebanyak 1,076 unit dan Tesla pula 935 unit.

“Pada pendapat kami, pertumbuhan EV yang baik ini dipacu oleh pembelian awal oleh pengguna sebelum dasar EV baharu mula dilaksanakan pada 1 Julai lalu.

“Kami juga menekankan bahawa Jaecoo J5 EV dan Xpeng versi pemasangan tempatan (CKD) kedua-duanya sudah dibuka untuk tempahan, dengan harga Xpeng lebih kurang sama dengan varian import sepenuhnya (CBU).

“Sementara itu, PERODUA hanya mendaftarkan 65 unit EV pada Jun lalu, meskipun harganya dipinda baru-baru ini,” katanya dalam satu nota penyelidikan.

Jumlah keseluruhan industri (TIV) pada bulan lalu meningkat kepada 67,879 unit, membawakan angka enam bulan pertama tahun ini mencecah 385,000 unit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top