ajohari@bh.com.my
Kuala Lumpur: Pegawai penyiasat kes projek jalan utama dan terowong dasar laut Pulau Pinang, menolak cadangan bahawa kerajaan negeri tidak mengalami kerugian dalam pemberian dua plot tanah kepada syarikat pemaju bagi pembayaran kerja kajian kebolehlaksanaan projek berkenaan.
Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli, 34, tidak bersetuju dengan peguam Mohd Haijan Omar, yang mencadangkan tiada kerugian dialami kerajaan negeri daripada kaedah ‘land swap’ (tukar ganti tanah) bagi kerja terbabit.
Saksi ke-38 pendakwaan itu berkata, pembayaran berkenaan adalah bagi menjelaskan tuntutan RM135 juta yang dibuat menerusi pemindahan lot tanah 702 milik kerajaan negeri kepada syarikat Consortium Zenith Beijing Urban Construction Group (CZBUCG).
Disoal lanjut oleh Mohd Haijan, mengenai berapa banyak jumlah tuntutan akhir oleh CZBUCG bagi menuntut bayaran secara ‘land swap’ bagi lot 702, saksi itu menjawab, “RM138 juta.”
Zukhimi selaku pegawai penyiasat kes rasuah membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, bagaimanapun bersetuju dengan peguam bahawa bahawa jumlah tuntutan yang dibuat CZBUCG adalah RM138 juta, namun nilai lot tanah 702 hanya RM135 juta.
Mohd Haijan: Kerajaan negeri sudah membayar kerja dilakukan oleh CZBUCG yang mana bayaran dibuat melalui ‘land swap’ berjumlah RM135 juta, setuju?
Zulhimi: Setuju.
Mohd Haijan: Berdasarkan keterangan Tuan Zul, bahawa kerja sudah dijalankan, diperakukan oleh HSSI Integrated Sdn Bhd (perunding teknikal bebas) dan lot 702 boleh dibayar untuk tujuan itu, jadi kerajaan negeri tidak mengalami kerugian untuk pemberian lot 702?
Zulhilmi: Saya tidak setuju.
Zulhilmi memberikan keterangan terhadap Guan Eng, 65, yang didakwa ketika menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta.
Ia dilakukan dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan projek pembinaan jalan utama dan terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 hingga Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.
Beliau turut berdepan dua tuduhan menyebabkan dua lot tanah milik Kerajaan Negeri Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut.
Pada perbicaraan sebelum ini, Zulhilmi memberitahu mahkamah, pada 6 Oktober 2013, perjanjian awal untuk projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong Pulau Pinang ditandatangani antara kerajaan negeri yang diwakili Guan Eng dengan Zarul Ahmad.
Beliau berkata, CZBUCG juga membuat perjanjian lantikan sebuah syarikat bagi menjalankan projek kajian dan seterusnya pembinaan tiga jalan utama dan terowong Pulau Pinang.
Katanya, dalam perjanjian awal, projek dimulakan dengan kajian kebolehlaksanaan bernilai RM305.88 juta dan sebagai bayaran, sebahagian daripada dua lot tanah iaitu Lot 702 atau 713, Bandar Tanjung Pinang ditawarkan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 3 Ogos ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd




