World Gourmet lancar Anugerah Top Taste, perkukuh pelancongan gastronomi negara

World Gourmet lancar Anugerah Top Taste, perkukuh pelancongan gastronomi negara

SHAH ALAM – World Gourmet melancarkan Anugerah World Top Gourmet 2026 dengan memperkenalkan Anugerah Top Taste sebagai kategori baharu bagi mengiktiraf produk makanan dan minuman berkualiti tinggi.

Presiden dan Pengasas World Gourmet, Dr Peggy Chong berkata, anugerah kali kelapan itu secara tidak langsung memperkukuh usaha menyokong kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menerusi pembangunan pelancongan gastronomi.

Menurut beliau, penganjuran World Top Gourmet bukan sahaja bertujuan mempromosikan kekayaan gastronomi Malaysia kepada dunia, malah membuka peluang kepada pengusaha tempatan memperluaskan jenama serta produk ke pasaran antarabangsa.

“Anugerah Top Taste diwujudkan bagi memberi pengiktirafan kepada produk makanan dan minuman yang menyerlah dari aspek rasa, kualiti, keaslian, inovasi, konsistensi, pembungkusan serta penerimaan pengguna.

“Penyertaan dibuka kepada pelbagai kategori termasuk makanan tradisional, produk warisan, minuman, sos, perencah, makanan ringan, makanan sejuk beku, produk artisan, makanan kesihatan dan produk inovatif.

“Anugerah ini diharap dapat menggalakkan inovasi, meningkatkan standard industri, memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta membantu produk tempatan menembusi pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Peggy (tengah) bersama barisan penerima Anugerah Top Taste.

Peggy (tengah) bersama barisan penerima Anugerah Top Taste.

Dalam perkembangan sama, World Gourmet turut memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan iFood bagi memperkukuh kerjasama dalam penganjuran pameran makanan antarabangsa, program jaringan perniagaan serta promosi industri makanan dan minuman.

Majlis itu turut menyaksikan pelantikan Datuk Zamzani Abdul Wahab atau Chef Zam sebagai World Gourmet Ambassador 2026 yang akan memainkan peranan mempromosikan masakan Malaysia, memelihara warisan makanan tradisional serta memperkukuhkan hubungan budaya melalui gastronomi di peringkat antarabangsa.

Sebagai kesinambungan program antarabangsa, majlis anugerah tersebut dijadual berlangsung pada 22 Oktober depan di Kuala Lumpur, manakala edisi kesembilan akan diadakan pada 21 Novembet di Guangzhou, China.

Penganjuran dua majlis bertaraf antarabangsa itu dijangka mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan gastronomi, selain memperluaskan jaringan kerjasama industri makanan dan hospitaliti di peringkat global.

Scroll to Top