am@hmetro.com.my
Jelebu: Barisan Nasional (BN) menegaskan gabungan itu tidak perlu mengumumkan ‘poster boy’ atau calon Menteri Besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, terlalu ramai calon Menteri Besar daripada BN dan salah satunya adalah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.
Beliau berkata, Jalaluddin adalah calon nombor satu bagi jawatan itu, namun semuanya perlu bergantung kepada perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Insya-Allah kalau dulu menteri-menteri besar kita berprestasi tinggi, saya yakin walaupun tidak disebutkan siapa ‘poster boy’ kita, siapa calon menteri besar kita, tak perlu… kita terlalu ramai calon-calon menteri besar, terlalu ramai.
“Salah seorangnya ada di sini. Datuk Asyraf (Wajdi Dusuki) kata ada 10 (calon Menteri Besar Negeri Sembilan), 10 (itu) ada kualiti bagus, betul?
“Tapi Jalal lah nombor satu, tertakluk kepada perkenan,” katanya semasa berucap di Pusat Daerah Mengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chennah, hari ini.
Hadir sama, Jalaluddin dan calon BN bagi DUN Chennah, Siow Kong Choon.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO turut menzahirkan keyakinan dalam PRN ke-16 itu dan menyifatkan pengundi di Negeri Sembilan mahukan perubahan.
“Saya tidak mahu mendahului hukum Allah, tidak. Tetapi saya juga bukan nujum Pak Belalang dalam bidang politik.
“Namun saya yakin perasaan pengundi di Negeri Sembilan, mereka mahu perubahan dan perubahan itu mesti menjurus ke arah ‘membirukan’ Negeri Sembilan dengan kemenangan calon BN,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




