Atlet gimnastik negara beri amaran awal di Glasgow

Atlet gimnastik negara beri amaran awal di Glasgow

Glasgow: Pasukan gimnastik artistik negara memulakan kempen Sukan Komanwel 2026 dengan penuh bergaya apabila Muhammad Sharul Aimy Kamaru Hisam dan Ng Chun Chen mengungguli empat acara kelayakan sekali gus berpeluang cerah Malaysia dalam usaha memburu pingat.

Sharul muncul antara atlet paling menyerlah apabila menamatkan saingan kelayakan di kedudukan pertama acara senaman lantai dengan 13.250 mata sebelum turut mengungguli acara lompat bergalah menerusi kutipan 13.725 mata dalam saingan kelayakan individu dan berpasukan.

Chun Chen turut mempamerkan aksi meyakinkan apabila menguasai acara kekuda berpelana dengan 12.400 mata sebelum menambah satu lagi kedudukan pertama dalam palang selari selepas mengumpul 12.850 mata.

Keputusan itu menyaksikan kedua-dua gimnas negara mengesahkan tempat ke final acara individu yang dijadual berlangsung Isnin dan Selasa ini.

Sharul yang membuat penampilan kedua di Sukan Komanwel dilihat hadir dengan keyakinan lebih tinggi selepas pernah mara ke final lompat bergalah di Birmingham 2022 sebelum menamatkan saingan di tempat ketujuh.

Gimnas kelahiran Terengganu itu kini dianggap antara pakar terbaik negara dalam acara berkenaan selepas menghadiahkan pingat gangsa pada Kejohanan Gimnastik Artistik Lelaki Asia 2024, iaitu pingat pertama Malaysia dalam sejarah kejohanan itu.

Sebelum berlepas ke Glasgow, Sharul menegaskan dia tidak menganggap temasya itu sekadar persiapan ke Sukan Asia Aichi-Nagoya, sebaliknya memasang impian membawa pulang pingat.

Dalam aksi kelayakan senaman lantai, Sharul mengatasi wakil Jamaica, Clayton Bell yang meraih 12.450 mata serta gimnas Singapura, Jovi Loh (11.750), manakala dalam acara lompat bergalah beliau sekali lagi menewaskan Bell yang mencatat 13.300 mata.

Sementara itu, Chun Chen meneruskan prestasi cemerlang yang dipamerkannya musim ini selepas muncul juara acara lompat bergalah pada Piala Cabaran Dunia FIG di Varna, Bulgaria.

Dia mengatasi Jovi Loh dan rakan senegara, Sharul yang masing-masing mengumpul 12.100 mata dalam acara kekuda berpelana sebelum sekali lagi mendahului Jovi dalam acara palang selari.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top