Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan beliau telah mengarahkan peguamnya mengeluarkan Surat Tuntutan terhadap pemilik akaun media sosial dikenali sebagai Abied Abdullah yang didakwa memfitnah, mengaibkan serta mengaitkannya dengan isu Tabung Haji.
Arah peguam keluarkan Surat Tuntutan
Menerusi kenyataan beliau di Facebook, surat tuntutan itu merangkumi permohonan maaf, penarikan balik kenyataan, akujanji serta tuntutan gantirugi sebanyak RM5 juta sebelum tindakan saman difailkan sekiranya tuntutan tersebut gagal dipenuhi.
“Saya telah arahkan peguam saya mengeluarkan Surat Tuntutan ke atas pemilik akaun Abied Abdullah yang memfitnah, mengaibkan, menjatuhkan reputasi dan cuba mengaitkan saya dengan isu Tabung Haji dgn tuntutan permohonan maaf, menarik balik kenyataan, akujanji dan gantirugi berjumlah RM5 Juta dan jika gagal Saman akan difailkan,” tulisnya.
#
Jika menang saman, keseluruhan gantirugi disalur ke YPM
Dalam masa sama, Asyraf Wajdi menyatakan sekiranya beliau berjaya memenangi saman berkenaan, keseluruhan wang gantirugi yang diterima akan disalurkan kepada Yayasan Pelajaran MARA (YPM) bagi membantu pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan meneruskan pengajian di institusi pendidikan tinggi.
“Sebagaimana kemenangan dalam kes saman saya sebelum ini, insyaAllah setiap sen yang saya dapat jika menang dalam kes saman RM5 Juta ini, saya bertekad akan salurkan semuanya kepada YAYASAN PELAJARAN MARA untuk membantu setiap anak-anak miskin yang hadapi kesukaran untuk menyambung pengajian ataupun menghadapi masalah kewangan dalam pembelajaran di mana-mana institusi pendidikan tinggi,” tambahnya lagi

Sumber: Facebook Asyraf Wajdi




