Sidang DUN Melaka dijangka Julai

Sidang DUN Melaka dijangka Julai

bhnews@bh.com.my

MELAKA: Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka diadakan pertengahan Julai, kata Timbalan Speaker DUN, Datuk Ghazale Muhamad.

Bagaimanapun katanya, penetapan tarikh sebenar sidang DUN Melaka bergantung kepada keputusan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Rustam.

Beliau berkata, kerajaan negeri dan barisan Ahli DUN (ADUN) sedia bersidang selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menzahirkan pandangan ia perlu dilakukan dalam tempoh segera.

“Kami sedang berunding dengan Speaker DUN, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang akan berurusan dengan Yang di-Pertua Negeri bagi mendapat izin untuk bersidang.

“Jangkaan tarikh, mungkin selewat-lewatnya kita akan dapatkan Julai sebagai gazet tarikh memerlukan tempoh dua minggu diwartakan, maka ia mungkin dijangka diadakan pada pertengahan Julai. Bagaimanapun, tertakluk kepada izin Yang di-Pertua Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri penyerahan sumbangan makanan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin bersama badan bukan kerajaan (NGO) di Zoo Melaka, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah dan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MHPTJ), Datuk Shadan Othman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top