Pekerja maut di tapak pembinaan Camp Nou

Pekerja maut di tapak pembinaan Camp Nou

Barcelona: Seorang pekerja berusia 54 tahun maut ketika menjalankan tugas di tapak kerja projek naik taraf Stadium Camp Nou milik Barcelona, sekali gus menjadi kemalangan maut pertama sejak kerja pembinaan semula bermula tiga tahun lalu.

Polis wilayah Catalonia memaklumkan, pasukan kecemasan dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima laporan insiden terbabit, namun mangsa gagal diselamatkan.

Pekerja berkenaan dipercayai meninggal dunia akibat mengalami ‘hentakan kuat’ ketika bekerja di kawasan projek berkenaan.

Pihak berkuasa kini menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian serta keadaan yang membawa kepada kemalangan terbabit.

Kerja pembangunan semula Camp Nou bermula pada Jun 2023 sebagai sebahagian daripada projek besar untuk menaik taraf stadium bersejarah itu, namun beberapa kelewatan berlaku susulan isu permit dan aduan berkaitan keadaan kerja.

Ketika ini, projek berkenaan memberi tumpuan antaranya kepada pemasangan struktur gelang mampatan yang berfungsi menyokong bumbung baharu stadium.

Stadium Camp Nou sedang menjalani transformasi besar-besaran bagi meningkatkan kapasiti, kemudahan serta pengalaman penyokong apabila siap sepenuhnya nanti.

Projek berkenaan dijangka selesai pada awal 2028, dengan Barcelona berharap gelanggang keramat mereka kembali menjadi antara stadium moden terbaik dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top