'PN tidak akan 'telan' kita' – Ahmad Maslan

'PN tidak akan 'telan' kita' – Ahmad Maslan

hidayah.tanzizi@hmetro.com.my

Cheras: UMNO menegaskan Perikatan Nasional (PN) tidak akan menguasai Barisan Nasional (BN) termasuk melalui persefahaman bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan persefahaman di Negeri Sembilan bukan satu perjanjian politik.

Menurutnya, UMNO dan BN mempunyai kebebasan menentukan strategi di peringkat negeri kerana tiada perjanjian rasmi seperti yang dimeterai di peringkat Persekutuan.

“Tidak, mereka tidak akan ‘telan’ kita sebab kita ada pengalaman dengan mereka. Bagaimana kita (pernah) menawarkan kerusi di Melaka, di Johor (sebelum ini) dan mereka tidak mahu terima akhirnya mereka belajar daripada perkara itu. Kalau mereka terima tawaran kita tentu mereka sudah ada kerusi di Melaka dan di Johor.

“Ini persefahaman (dalam PRN Negeri Sembilan), belum perjanjian. Perjanjian kita buat di peringkat persekutuan. Perjanjian itu masih lagi tidak terbatal tetapi di negeri tidak ada perjanjian.

“Kerana tiada perjanjian kita bebas membuat langkah strategik dan juga kaedah taktikal untuk memastikan UMNO BN terus relevan dan menang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Cheras di sini, malam ini.

Katanya, pendekatan di peringkat negeri berbeza kerana setiap negeri mempunyai strategi tersendiri mengikut landskap politik masing-masing.

Beliau turut berpandangan kerajaan Persekutuan tidak akan terjejas kerana UMNO dan BN tetap berpegang kepada perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal.

“Kita sudah ada perjanjian supaya kita menyokong hingga akhir penggal dan kita tidak berhasrat memungkiri perjanjian itu di peringkat persekutuan,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata, BN perlu menyedari hakikat tidak lama lagi mereka akan cuba ‘ditelan’ PN.

Beliau berkata, tanda PN ingin mendominasi BN sudah ada dengan penggunaan ungkapan ‘Perikatan Barisan Nasional’.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kenyataan Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran menyeru BN mempertimbangkan langkah bertanding secara solo dalam PRN akan datang, Ahmad berkata, semua pihak perlu melihat gambaran keseluruhan kerana pendekatan berkenaan dibuat berdasarkan keunikan landskap politik negeri.

“Mula-mula ni mestilah ada ‘hiccup’ (sedikit rasa tidak selesa) tetapi kita kena melihat seluruh gambaran apabila tiba waktunya.

“Negeri Sembilan ini unik kerana komposisi pengundinya sedemikian rupa. Ramai (pengundi) Cina dan India, Melayu bukan majoriti yang besar, jadi (ini) adalah kaedah yang menyebabkan kita melangkah dengan kukuh,” katanya.

Katanya, beliau sudah mengunjungi ke 11 daripada 16 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Sembilan yang UMNO bertanding dan merasai ada beberapa kawasan yang berpotensi menang.

“Ada tempat saya pergi tiga kali (seperti) Linggi, ada tempat saya pergi dua kali (seperti) Labu dan saya boleh merasakan kejayaan kita itu… Insya-Allah akan berlaku,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top