BSK 'talian hayat' wanita dan anak

BSK 'talian hayat' wanita dan anak

Kuala Lumpur: Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Mahkamah Syariah menjadi ‘talian hayat’ wanita dan anak yang terpaksa berdepan bekas suami atau bapa culas membayar nafkah walaupun perintah mahkamah sudah dikeluarkan.

Mantan Ketua Hakim Syarie, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, BSK diwujudkan bagi membantu golongan wanita serta anak-anak yang memperoleh perintah nafkah mendapatkan khidmat nasihat, bantuan perundangan dan sokongan penguatkuasaan secara percuma.

Katanya, wanita yang memperoleh perintah nafkah tetapi gagal dilaksanakan bekas suami boleh menghadirkan diri ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan bantuan terus daripada BSK tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Pegawai BSK akan membantu memberi nasihat selain menghubungi bekas suami atau bapa kepada anak terbabit bagi memberi amaran supaya mematuhi perintah mahkamah yang sudah dikeluarkan.

“Semua khidmat itu diberikan secara percuma tanpa dikenakan sebarang caj,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im yang juga mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, antara fungsi utama BSK ialah membantu isteri dan anak-anak menguatkuasakan perintah nafkah yang gagal dipatuhi bekas suami selain menawarkan bantuan kewangan menerusi dana pendahuluan nafkah yang diperuntukkan Kerajaan Persekutuan bagi meneruskan kehidupan sementara proses penguatkuasaan berjalan.

“Bantuan itu penting memandangkan proses pelaksanaan nafkah kadangkala mengambil masa lama sehingga berbulan-bulan termasuk mencecah enam bulan sebelum pembayaran berjaya diperoleh daripada bekas suami.

“Persoalannya bagaimana isteri dan anak-anak mahu meneruskan kehidupan sekiranya mereka tidak mempunyai pendapatan atau sumber kewangan?

“Jadi dalam konteks ini, sementara menunggu pelaksanaan perintah nafkah terhadap bekas suami, isteri boleh memohon bantuan pendahuluan sementara daripada BSK,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Na’im berkata, ramai wanita sebelum ini berdepan kesukaran untuk menuntut nafkah kerana kekangan kewangan bagi mendapatkan khidmat peguam.

Menurut beliau, keadaan itu menyebabkan ada bekas suami mengambil kesempatan kerana mengetahui bekas isteri tidak mempunyai kemampuan untuk meneruskan tindakan perundangan.

“Seingat saya, sekitar 2018, terdapat kira-kira 12,000 perintah nafkah tidak dipatuhi suami.

“Antara sebab kenapa perintah itu tidak dipatuhi kerana bekas suami tahu bekas isterinya tidak mempunyai kemampuan untuk melantik peguam bagi mendapatkan nasihat dan tindakan perundangan.

“Mungkin juga ramai wanita tidak tahu fungsi dan kewujudan BSK atau faktor lain, namun semua ini memerlukan kajian mendalam,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top