Narathiwat: Thailand mengisytiharkan pelaksanaan undang-undang tentera di 13 daerah di Narathiwat susulan serangan maut yang mengorbankan lima anggota renjer pada Rabu lalu.
Pelaksanaan undang-undang itu juga memudahkan operasi memburu suspek dan memperketat kawalan keselamatan di wilayah bergolak itu.
Panglima Tentera Narathiwat, Mejar Jeneral Yod-Arwut Phuengpak berkata, langkah itu membolehkan pasukan keselamatan mengesan, mengepung dan menahan suspek dengan lebih berkesan.
“Dalam menjalankan tugas, pegawai dibenarkan menggunakan senjata api sekiranya berdepan individu yang disyaki boleh mengancam keselamatan anggota yang bertugas,” katanya selepas mengumumkan perintah itu pada Jumaat.
Beliau berkata, pihak tentera turut diberi kuasa mengadakan sekatan jalan raya pada bila-bila masa di seluruh Narathiwat sekiranya suspek dipercayai berada di kawasan berkenaan.
Perintah Undang-Undang Tentera itu berkuat kuasa serta-merta sehingga dimaklumkan kelak.
Pada Rabu, enam suspek bertopeng dan berpakaian gelap melepaskan tembakan serta melontar bom paip ke arah pusat pemeriksaan keselamatan kira-kira 6.45 petang waktu tempatan di Bukit Sami, daerah Rangae, mengorbankan lima anggota renjer dan mencederakan enam orang awam, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
© New Straits Times Press (M) Bhd




