Dekati dan layan remaja autisme dengan sebaik mungkin

Dekati dan layan remaja autisme dengan sebaik mungkin

nurul_husna@mediaprima.com.my

INSIDEN seorang remaja menikam rakan sekolah di Selangor baru-baru ini, cukup mengejutkan masyarakat.

Lebih menyedihkan apabila timbul laporan, pelaku dipercayai remaja autisme selain dikatakan sudah lama berhadapan dengan pengalaman dibuli.

Meskipun fakta sebenar kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa, insiden ini mencipta persoalan lebih besar yang perlu direnungi masyarakat.

Sejauh manakah kita benar-benar memahami kehidupan remaja orang kurang upaya (OKU), khususnya individu autisme?

Isu serangan atau kekejaman berlaku di sekolah sering dikaitkan dengan kejadian buli.

Permulaan atau perbuatan negatif itu dilihat sebagai satu kebiasaan yang boleh mencetuskan tindakan drastik atau serangan terhadap individu lain.

Berdasarkan data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), 4,994 kes buli direkodkan di sekolah seluruh negara bagi tempoh sehingga Oktober 2023, menunjukkan peningkatan berbanding 3,887 kes pada 2022.

Malah, dapatan kajian global dan tempatan menyokong bahawa kanak-kanak serta remaja neurodivergen (seperti autisme) mempunyai risiko sehingga dua hingga tiga kali ganda lebih tinggi untuk menjadi mangsa buli berbanding rakan tipikal mereka.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Pengajian Sains dan Teknologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya, Dr Maisarah Hasbullah, perhatian terhadap anak autisme sering kali tertumpu kepada fasa awal kehidupan sahaja.

“Selama ini, perhatian terhadap anak-anak autisme banyak tertumpu kepada fasa awal kehidupan seperti intervensi awal, terapi pertuturan dan cara kerja.

“Hakikatnya, cabaran sebenar sering bermula apabila mereka memasuki alam remaja.

“Remaja autisme berdepan cabaran dan kesukaran, namun, pada usia itu, mereka tidak menerima bantuan sewajarnya,” katanya.

Beliau menjelaskan, ramai remaja autisme yang mempunyai kemampuan akademik berusaha keras menyesuaikan diri menerusi fenomena yang dipanggil ‘masking’.

“Mereka belajar meniru tingkah laku rakan-rakan, menyembunyikan kesukaran dan berusaha kelihatan normal.

“Walaupun kelihatan berjaya, proses ini memerlukan tenaga emosi yang sangat besar.

“Apabila digabungkan dengan pengalaman dibuli atau disisihkan, tekanan yang dipendam boleh menjadi sangat berat,” katanya.

Dr Maisarah menegaskan, majoriti individu autisme tidak bersifat ganas dan lebih cenderung menjadi mangsa berbanding pelaku.

“Jika remaja autisme ini berdepan dengan sesuatu perkara yang tidak menyenangkan, tidak semua akan bertindak secara agresif.

“Majoriti individu autisme tidak bersifat ganas dan lebih cenderung menjadi mangsa buli berbanding pelaku,” katanya.

Namun, menurut beliau, setiap individu yang hidup dalam tekanan berpanjangan memerlukan sokongan sewajarnya sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Didik anak yang tipikal untuk menyantuni OKU

Bagi membina persekitaran yang selamat, kata pakar itu, masyarakat tidak boleh melemparkan tanggungjawab berkenaan kepada ibu bapa atau pihak sekolah semata-mata.

Pendidikan nilai dan empati perlu dipupuk dari rumah dan terhadap anak-anak, terutamanya yang berdepan dengan remaja autisme.

“Anak yang tipikal perlu didedahkan sejak kecil terdapat rakan yang mungkin sukar memahami bahasa kiasan, kurang selesa dengan bunyi bising atau mengambil masa lebih lama untuk menjawab.

“Perbezaan ini bukan alasan untuk mengejek, sebaliknya peluang memupuk empati,” katanya.

Menurut beliau, mendidik anak-anak supaya menyantuni rakan OKU sebenarnya sebahagian daripada pendidikan nilai yang akan membentuk masyarakat masa hadapan.

“Mereka perlu belajar bahawa tidak semua orang menunjukkan emosi dengan cara yang sama, memahami isyarat sosial dengan mudah atau mampu mempertahankan diri apabila menjadi mangsa buli.

“Ada kalanya, senyuman, sapaan, pelawaan bermain atau kesediaan menjadi pendengar sudah cukup memberi makna besar kepada remaja yang berasa terasing,” katanya.

Ekosistem sekolah juga memainkan peranan penting dalam membina budaya inklusif terhadap remaja autisme.

Namun, guru tidak boleh memikul tanggungjawab ini bersendirian.

Mereka mempunyai pelbagai tugas lain yang perlu dilaksanakan.

Oleh itu, kata beliau, usaha membina persekitaran yang inklusif memerlukan kerjasama ibu bapa, komuniti, persatuan, pakar psikologi, profesional kesihatan, pertubuhan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.

Kata beliau lagi, sokongan kepada remaja OKU juga tidak patut terhenti selepas tamat program intervensi awal.

“Akses kepada perkhidmatan psikologi, kaunseling dan sokongan kesihatan mental perlu diperkukuhkan, khususnya ketika mereka memasuki alam remaja.

“Tempoh ini ialah fasa penuh perubahan daripada segi emosi, identiti dan hubungan sosial. Sokongan yang berterusan mampu membantu mereka mengurus tekanan, memahami emosi dan membina kemahiran hidup dengan lebih baik,” katanya.

Insiden serangan terbabit sepatutnya menjadi ruang untuk masyarakat bermuhasabah, bukannya menuding jari atau mewujudkan stigma baharu bahawa individu autisme itu berbahaya.

“Ukuran kemajuan sesebuah negara bukan sekadar pada kecanggihan teknologi atau pencapaian ekonomi, tetapi bagaimana masyarakat melayan golongan paling memerlukan perhatian.

“Jika kita berjaya mendidik anak-anak menghormati perbezaan, kita bukan sahaja melindungi anak-anak istimewa, malah membina masyarakat lebih berperikemanusiaan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top