Selepas bantu Aiman, Zhe Yie buru mata di zon pendakian

Selepas bantu Aiman, Zhe Yie buru mata di zon pendakian

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Selepas membantu rakan sepasukan, Nur Aiman Rosli menyarung Jersi Asia, pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Kee Zhe Yie kini mahu menukar watak daripada pembantu kepada pemburu apabila mengintai mata awal Raja Bukit pada Peringkat 2 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2026, esok.

Zhe Yie menyasarkan zon pendakian CAT 4 di Selama pada kilometer (km) 53.6 yang berketinggian 98 meter (m) untuk menambah koleksi mata Raja Bukit, sebelum mengharungi cabaran sebenar di penghujung perlumbaan apabila pendakian CAT 1 ke puncak Gunung Jerai.

Pelumba berusia 23 tahun itu kini mengumpul dua mata selepas menduduki tempat kedua dalam perebutan KOM pada Peringkat 1 dari Shah Alam ke Kampar sejauh 193 kilometer (km), hari ini.

“Hari ini ada zon pendakian dan saya cuba memburunya, tetapi sudah ada pelumba lain terlepas di depan menyebabkan saya berpuas hati di tempat kedua dalam kedudukan perebutan jersi Raja Bukit.

“Jadi untuk perlumbaan esok, kalau berpeluang saya mahu cuba kejar awal zon KOM pertama di Selama itu demi mengutip mata bukit supaya kedudukan lebih selesa,” katanya selepas tamat perlumbaan, hari ini.

Zhe Yie sebelum itu memainkan peranan penting dalam membantu Aiman meraih gelaran Pelumba Terbaik Asia selepas mengharungi perlumbaan dalam cuaca panas dan jarak yang panjang.

Dia turut lega apabila tubuhnya mampu bertahan tanpa mengalami masalah kekejangan otot sepanjang perlumbaan.

“Perlumbaan hari ini agak jauh ditambah dengan musim panas, namun mujur cuaca hanya mula terik pada 30km terakhir.

“Paling penting, tugasan pasukan tercapai dan saya nampak Aiman sangat gembira menyarung jersi itu,” katanya.

Mengulas cabaran di Gunung Jerai, Zhe Yie mengakui pendakian setinggi 971m itu bakal menjadi wilayah yang belum diterokainya, namun dia enggan terlalu memikirkan keadaan puncak berkenaan.

Sebaliknya, dia mahu memastikan dirinya berada dalam kelompok hadapan sebelum pendakian bermula bagi mengelak kehilangan posisi ketika perlumbaan memasuki fasa penentuan.

“Saya sendiri tidak tahu keadaan sebenar di sana sebab memang tidak pernah mendaki Gunung Jerai.

“Rancangan saya hanyalah mengekori kelompok hadapan sebelum mula bertarung mencari posisi terbaik apabila pendakian bermula nanti,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top