Kekecohan penyokong Pahang Rangers, JDT tidak babit pergaduhan fizikal – Polis

Kekecohan penyokong Pahang Rangers, JDT tidak babit pergaduhan fizikal – Polis

harisfadli@hmetro.com.my

​Kuantan: Tiada pergaduhan secara fizikal berlaku dalam insiden kekecohan antara penyokong tuan rumah, Pahang Rangers FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi separuh akhir pertama Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL), di sini, semalam.

​Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung insiden itu, namun menegaskan keadaan kekal terkawal walaupun berlaku perselisihan antara penyokong.

​”Kekecohan hanya membabitkan insiden membaling botol minuman dan tiada pergaduhan fizikal antara penyokong,” katanya ketika dihubungi hari ini.

​Terdahulu, media melaporkan perlawanan separuh akhir itu dicemari kekecohan apabila penyokong pelawat didakwa tidak berpuas hati dengan keputusan perlawanan di Stadium Tertutup Sukpa Kuantan.

​Kekecohan berlaku selepas tamat perlawanan apabila sekumpulan penyokong yang dipercayai kumpulan penyokong Boys of Straits kelihatan membaling barangan ke arah kawasan penyokong Pahang.

​Situasi berkenaan mencetuskan ketegangan di sekitar kawasan tempat duduk penyokong selepas JDT gagal membawa pulang keputusan positif, sekali gus menyaksikan Pahang Rangers membawa bekalan dua gol untuk aksi timbal balik di Pasir Gudang, 10 Oktober ini.

​Sebelum itu, perlawanan berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol pembukaan sebelum penjaring terbanyak liga, Felipe de Souza memecah kebuntuan untuk meletakkan tuan rumah di depan.

​Perlawanan turut menyaksikan insiden tegang apabila kepala de Souza berdarah selepas dikasari pemain JDT, menambah bahang pertemuan antara kedua-dua pasukan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top