Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendedahkan telah mengadakan satu pertemuan bersama barisan kepimpinan Pemuda PAS pada malam Jumaat yang disifatkan sebagai usaha berteraskan kepentingan agama, bangsa dan tanah air.
Saling berjabat tangan
Perkara itu dikongsikan menerusi satu hantaran di Facebook yang turut memperlihatkan pemimpin kedua-dua sayap parti berkumpul dalam suasana mesra.
Antara yang mencuri perhatian ialah gambar Muhamad Akmal berjabat tangan dengan Ahli Parlimen Alor Setar yang juga Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Maklumkan pertemuan beri kebaikan kepada semua
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu, pertemuan berkenaan diharap mampu membawa manfaat kepada semua pihak tanpa mengira perbezaan parti politik.
“Alhamdulillah pertemuan di antara Pemuda UMNO dan Pemuda PAS malam ini.
“Moga pertemuan ini memberikan kebaikan kepada semua. Ini bukan soal UMNO atau PAS. Ini soal agama, bangsa dan juga tanah air,”katanya dalam hantaran tersebut.

Walau bagaimanapun, Muhamad Akmal tidak memperincikan agenda atau perkara yang dibincangkan sepanjang pertemuan itu.
Setakat ini, perkongsian tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna media sosial, dengan rata-ratanya melihat pertemuan berkenaan sebagai satu perkembangan yang menarik membabitkan dua sayap parti berkenaan.
Sumber: Facebook Akmal Saleh




