Laluan pejalan kaki di kawasan jambatan angkat runtuh akibat hakisan

Laluan pejalan kaki di kawasan jambatan angkat runtuh akibat hakisan

am@hmetro.com.my

Kuala Nerus: Laluan pejalan kaki berhampiran Jambatan Angkat, di sini, dikesan mengalami hakisan hingga menimbulkan kebimbangan kerana dikhuatiri akan mengancam keselamatan pengunjung.

Pengunjung, Nursyasha Othaman, 39, yang ditemui berkata, sekiranya hakisan itu tidak ditangani boleh mengancam keselamatan pengunjung.

Menurutnya, dia sering membawa anak-anaknya ke kawasan itu kerana lokasi yang cantik dan tidak terlalu padat dengan pengunjung terutama pada hujung minggu untuk melakukan aktiviti ‘brisk walk’.

Katanya, kawasan berkenaan juga menjadi pilihan untuk pengunjung bergambar selain menikmati pemandangan indah di sekitar jambatan angkat.

“Biasanya saya akan berjalan, manakala anak-anak akan bermain selain kami juga turut bergambar di sekitar kawasan ini kerana panoramanya yang cantik.

“Saya juga risau kalau ada pengunjung yang tidak perasan terdapat laluan yang runtuh terutama kanak-kanak dan boleh mengundang kecederaan sekiranya terjatuh ke dalam lubangnya yang agak dalam,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Siti Maimunah Ishak, 47, berkata, dia menyedari kerosakan pada laluan berkenaan sejak beberapa bulan lalu namun keadaan masih sama pada ketika ini.

“Situasi ini membimbangkan kerana kawasan tersebut sering menjadi laluan orang ramai untuk beriadah selain menjadi lokasi tumpuan anak muda untuk berkumpul pada waktu malam.

“Saya harap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera kerana kalau dibiarkan lebih lama berkemungkinan boleh membahayakan keselamatan pengunjung di kawasan terbabit,” katanya.

Menurutnya, lokasi yang menarik seperti ini harus dijaga dengan baik kerana ia satu lokasi tumpuan bukan hanya pada pengunjung setempat malah mampu menarik kehadiran pengunjung luar untuk beriadah di kawasan ini.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Terengganu Lizan Che Mat berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu untuk tindakan lanjut.

“Pihak kami berharap kerja pembaikan dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat memandangkan kawasan berkenaan merupakan antara lokasi rekreasi dan pelancongan yang menjadi tumpuan orang ramai.

“Kita berharap kerja pembaikan dapat dilaksanakan dengan segera kerana kita juga bimbang aspek keselamatan pengunjung,” katanya.

Menurutnya, kalau boleh kita mahu elak sebarang kejadian tidak diingini selain menjaga imej lokasi tumpuan berkenaan.

Tinjauan mendapati sebahagian struktur laluan konkrit di kawasan itu mendap sehingga membentuk lubang besar berhampiran pesisir Sungai Terengganu.

Lokasi berkenaan juga sering menjadi tumpuan penduduk tempatan dan pelancong untuk bersantai serta merakam gambar dengan latar belakang mercu tanda ikonik negeri itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top