Durian runtuh untuk Kampung Sungai Setar

Durian runtuh untuk Kampung Sungai Setar

am@hmetro.com.my

Nibong Tebal: Kampung Sungai Setar Besar di daerah Seberang Perai Selatan di sini, menerima peruntukan sebanyak RM600,000 bagi manfaat pelbagai inisiatif pembangunan komuniti, pemerkasaan modal insan serta penyampaian perkhidmatan kebajikan.

Peruntukan itu disalur menerusi Program Kampung Angkat MADANI (KAM) dan Program Sekolah Angkat MADANI (SAM) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) 2026.

Ketua Pengarah Kebajikan Masyarakat Datuk Che Murad Sayang Ramjan berkata, bagi Program KAM, sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi menaik taraf pulih Masjid Al-Fatah Sungai Setar Besar, baik pulih taman permainan di Kampung Sungai Setar Besar dan Kampung Sungai Tok Tuntung, pembinaan mercu tanda kampung serta Tabika KEMAS Tanah Kebun.

Katanya, pelaksanaan projek yang sudah dimulakan itu dapat meningkatkan keselesaan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat.

“Manakala Program SAM, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Acheh dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI JKM Tahun 2026 yang menerima peruntukan sebanyak RM100,000.

“Pemilihan Kampung Sungai Setar Besar sebagai Kampung Angkat MADANI bertujuan merapatkan jurang sosioekonomi, mempertingkatkan infrastruktur asas dan paling utama ialah memperkasakan modal insan supaya selari dengan arus pemodenan negara.

“Kita sedia maklum bahawa kehidupan di kampung sering berhadapan dengan cabaran infrastruktur asas justeru, program ini mencerminkan komitmen JKM dalam pelaksanaan pelbagai projek bagi melengkapkan kemudahan asas kampung,” katanya ketika ditemui di Program Komuniti@Heart dan Majlis Peluncuran KAM, di SMK Sungai Acheh hari ini.

Majlis peluncuran disempurnakan Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

Mengulas lanjut Che Murad berkata, menerusi projek SAM ini, JKM sudah merancang beberapa projek termasuk pembinaan ruang amali pertanian, penyediaan kelengkapan bengkel dan ICT, pembangunan pusat sumber, kelas digital serta pelaksanaan program pembangunan sahsiah dan jati diri murid bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif.

Katanya, JKM turut memperkukuh pembangunan ekonomi komuniti menerusi kerjasama strategik bersama Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) dalam Program TVET On Job Training bagi projek penanaman padi.

“Program ini membabitkan penyertaan seramai 12 pelajar PERDA-TECH dan 15 belia Kampung Sungai Setar Besar sekali gus membuka peluang kepada golongan belia meningkatkan kemahiran serta menjana pendapatan menerusi sektor pertanian.

“Pendekatan JKM pada tahun ini lebih holistik, bukan sekadar menyediakan kemudahan fizikal tetapi turut memberi tumpuan kepada usaha memperkasa masyarakat supaya mampu meningkat taraf hidup secara mampan,” katanya lagi.

Untuk rekod, Kampung Sungai Setar Besar mempunyai seramai 519 penerima bantuan JKM daripada keseluruhan sebanyak 22,652 penerima bantuan jabatan itu di Pulau Pinang dengan nilai bantuan bulanan yang disalurkan mencecah RM65.7 juta.

Terdahulu, Program Komuniti@Heart yang berlangsung serentak hari ini menghimpunkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk Program Ziarah Kasih, gotong-royong, sukan rakyat, kenduri rakyat, pertandingan mewarna, reruai perkhidmatan kerajaan, pemeriksaan kesihatan, Jualan Rahmah, jualan produk orang kurang upaya (OKU) serta khidmat gunting rambut percuma.

Program Ziarah Kasih turut menyantuni dua penerima bantuan JKM di Kampung Sungai Setar Besar iaitu seorang penerima Bantuan Penjagaan OKU/ Pesakit Kronik Terlantar (BPOKU/PKT) dan seorang penerima Bantuan Warga Emas bagi memastikan bantuan serta intervensi kebajikan yang disalurkan memenuhi keperluan golongan sasar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top